Assalamu’alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Selamat datang ke Laman Web Rasmi Sekolah Kebangsaan Sena. Sejak penubuhannya 22 tahun yang lalu, Sekolah Kebangsaan Sena bertekad bukan sahaja untuk terbilang dalam usaha menjana dan menyebarkan ilmu pengetahuan tetapi juga dalam menjunjung tinggi bidang perguruan.
Tahun 2014 menyaksikan kejayaan Sekolah Kebangsaan Sena sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan Malaysia menjalankan pelbagai program kebitaraan sebagai usaha SK Sena meningkatkan kecemerlangan. Bitara ICT SK Sena atau dikenali sebagai S.E.N.A CyQUEST, contohnya, telah Berjaya mengharumkan nama sekolah, negeri dan juga Negara di peringkat antarabangsa dengan pelbagai anugerah yang diraih. Sekolah Sena juga telah meraih 4 daripada tujuh anugerah Jalinan SKK-IPTA yang dipertandingkan di peringkat kebangsaan. Bitara Lompat Tali, atau Sena Jumpers pula terus merebut pelbagai kemenangan, seperti yang telah dilakukan tahun demi tahun dan juga telah mencatatkan nama Sekolah Sena di Malaysia Book of Record dengan ‘The Longest Skipping Relay’. Bitara Matematik, atau GENIUS MATHS berjaya menghasilkan beberapa kumpulan Doktor Muda Matematik dan meraih kejayaan di beberapa pertandingan di peringkat kebangsaan.
Pelaksanaan program-program ini memerlukan komitmen, kerjasama dan usaha berterusan di kalangan warga SK Sena. Kami di SK Sena amat menghargai kesempatan, malah menjadi satu kejayaan besar kepada kami untuk menyampaikan ilmu dan pengetahuan lanjutan ini kepada murid-murid SK Sena. Hasil jaringan antara Sekolah Kluster Kecemerlangan dengan universiti-universiti yang bertindak sebagai panel penasihat, khususnya Universiti Malaysia Perlis, Universiti Sains Malaysia dan Institut Pendidikan Guru Perlis, program-program kebitaraan 2016 akan dapat dilaksanakan dengan lancar, yang akhirnya membawa begitu banyak manfaat kepada warga sekolah.
Bagi kami di SK Sena, sasaran utama menjalankan apa juga program dan aktiviti ialah untuk menghasilkan impak yang tinggi kepada kumpulan sasaran bagi setiap program, sama ada guru mahupun murid. Budaya kerja yang diamalkan dalam usaha untuk menjayakan program-program kebitaraan, malah semua program sekolah secara umumnya, menjurus ke arah piawaian Sekolah Berprestasi Tinggi, selaras dengan visi SK Sena, Sekolah Kebangsaan Sena dari Sekolah Kluster Kecemerlangan ke Sekolah Berprestasi Tinggi.
Akhir kata, harapan saya ialah agar semua pihak di SK Sena menjadikan kejayaan-kejayaan yang telah kita kecapi, dan usaha-usaha yang telah kita curahkan sebagai batu loncatan untuk mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi secara berterusan. Saya juga berharap agar impian seluruh warga Sena untuk mencapai Sekolah Berprestasi Tinggi akan menjadi kenyataan pada tahun 2017 ini. Semoga amalan kita hari ini menjadi legasi dan inspirasi kepada generasi SK Sena yang akan datang.
"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"
Saya yang menurut perintah,
JAFRI BIN OTHMAN
Guru Besar
Sekolah Kebangsaan Sena