Sambutan Hari Guru 2016 Guru Pembina Negara Bangsa
- Butiran
- Category: Uncategorised
- Created on Sabtu, 21 Mei 2016 11:43
- Dikemaskini pada Sabtu, 21 Mei 2016 12:15
- Diterbitkan pada Sabtu, 21 Mei 2016 11:43
- Pengarang: Administrator
- Hits: 810
Pada 16 Mei 2016, acara sambutan Hari Guru peringkat sekolah dimulakan dengan perarakan masuk barisan para pentadbir dan semua guru ke Dataran Sena yang diiringi paluan kompang. Pengacara majlis sempena Hari Guru peringkat sekolah adalah Puan Rafizah Abd. Rashid, yang dibantu oleh wakil murid iaitu Mohd Qhalif Azzariq dan Nur Raihana. Semua hadirin diminta berdiri dan menyanyikan lagu Negaraku, lagu Negeri Perlis dan Lagu Sekolah. Para guru turut menyanyikan lagu tema hari guru pada tahun ini, lagu Kami Guru Malaysia dan membaca ikrar yang diketuai oleh PK Kokurikulum, En. Shamsul B. Shuib. Seterusnya , bacaan doa oleh Ustaz Kamazya dan diikuti bacaan teks ucapan Menteri Pendidikan dan KPPM oleh Ustaz Zuhairi dan En. Azmi . Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Tuan Guru Besar; En. Jafri B. Othman, ucapan oleh En. Arizal selaku wakil PIBG dan ucapan Ketua Pengawas Sekolah selaku wakil murid.
Hadirin dihiburkan dengan beberapa persembahan seperti persembahan tarian murid-murid Pra Sekolah, persembahan angklung, nyanyian lagu bertemakan hari guru oleh murid-murid kelas 5 dan 2A.
Di samping itu juga, Anugerah Guru Popular turut diadakan di mana nama-nama guru telah dicalonkan oleh para murid itu sendiri. Tuan Guru Besar, En Jafri Othman telah menyampaikan hadiah kepada guru-guru yang memenangi anugerah iaitu En. Kamazya Ahmad telah memenangi Anugerah Guru Paling Glamor dan Guru Paling Lawak, En. Zuhairi telah memenangi Anugerah Guru Paling sporting, En. Mohd Zaidi Omar telah memenangi Anugerah Guru Paling Garang dan Pn. Nursyuhadah Abdulah telah memenangi Anugerah Guru Penyayang. Seterusnya majlis diteruskan dengan pemberian hadiah kepada barisan pentadbir dan semua guru oleh Badan Pengawas Sekolah. Murid-murid yang membawa hadiah diminta berbaris dan memberikan hadiah mereka kepada para guru sebelum bergerak ke kantin.
Selepas rehat, acara sukaneka untuk semua guru bermula. Terdapat 6 kumpulan dan sebanyak 3 acara dijalankan iaitu acara baling belon berisi air, permainan tuju bola dan tarik upih. Acara sukaneka ini berakhir pada jam 12.30 tengah hari. Murid-murid juga turut diraikan oleh oleh pihak PIBG dengan mengedarkan mereka aiskrim sebelum pulang.
Pada sebelah petang,berlangsung aktiviti gotong-royong untuk persiapan jamuan untuk semua guru dan ahli keluarga. Guru-guru lelaki menyusun meja dan kerusi serta menyediakan tempat untuk majlis pada malam nanti. Manakala, guru-guru perempuan membuat persediaan untuk hidangan bihun sup .
Sambutan hari guru diteruskan lagi pada malamnya. Semua guru hadir bersama dengan ahli keluarga masing-masing. En. Shamsul selaku pengacara majlis pada malam tersebut. Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Tuan Guru Besar dan diikuti oleh majlis memotong kek yang disumbangkan oleh Ahli Parlimen Kangar. Turut diadakan acara cabutan bertuah dan pertukaran hadiah sesama guru. Seterusnya, jamuan makan untuk semua hadirin. Pelbagai hidangan disediakan termasuklah bihun sup, nasi jagung berserta ayam masak merah, yong tau fu, kuetoew goreng, laici kang, sate dan hidangan pencuci mulut. Majlis jamuan berakhir kira-kira jam 10.30 malam.