Intranet dan Internet di SK Sena
- Butiran
- Dikemaskini pada Selasa, 09 Julai 2013 13:39
- Diterbitkan pada Isnin, 22 Mac 2010 11:41
- Pengarang: Ketua Komponen SenaNet
Apabila SenaNet bercadang untuk menerbitkan artikel ini, tujuan utama yang mendorong penulisannya ialah kerana wujudnya beberapa masalah yang kadang kala timbul dalam mengakses server-server CATER menggunakan alamat luarannya, iaitu http://cater.sksena.edu.my/. Sementara pencarian punca dan penyelesaian bagi masalah-masalah ini diusahakan, SenaNet berhasrat untuk menyenaraikan alamat dalaman bagi setiap perkhidmatan CATER, agar warga SK Sena masih dapat mengakses perkhidmatan-perkhidmatan berkenaan dari dalam rangkaian sekolah, sekalipun menghadapi masalah jika menggunakan alamat luar seperti yang telah dinyatakan. Sehubungan dengan itu, kami merasakan ada baiknya jika dijelaskan terlebih dahulu perbezaan-perbezaan umum antara rangkaian dalaman dan luaran, atau lebih dikenali sebagai intranet dan internet.
Intranet
Secara ringkasnya, intranet atau rangkaian dalaman merupakan rangkaian komunikasi antara komputer dan peralatan lain dalam satu-satu organisasi, dan biasanya beroperasi menggunakan satu talian yang sama. Perhubungan antara peralatan-peralatan ICT seperti komputer, pencetak dan lain-lain dalam intranet hanya berlaku dalam organisasi tersebut sahaja, dan tidak melibatkan sebarang komunikasi dengan komputer atau server di luar kawasan/talian organisasi tersebut. Ini dapat dilihat dengan lebih jelas dalam rajah berikut.
Rajah 1: Contoh sambungan intranet SK Sena
Dalam Rajah 1, rangkaian dalaman SK Sena hanya menghubungkan antara komputer-komputer dan server dalam kawasan SK Sena menggunakan switch yang juga dihubungkan ke talian komunikasi SK Sena. Komputer-komputer ini hanya boleh 'bercakap' antara satu sama lain, dan boleh mengakses data yang terdapat dalam CATER, iaitu server yang juga terdapat dalam kawasan SK Sena. Melalui intranet, komputer-komputer di SK Sena tidak akan dapat mencapai mana-mana laman web luar kerana server yang menyimpan data laman web luar berkenaan tidak berada dalam rangkaian SK Sena. Sebagai contoh, server Facebook berada di Amerika Syarikat, iaitu jauh di luar kawasan sambungan SK Sena. Jika hanya mengharapkan sambungan dalaman ini, pengguna-pengguna komputer di SK Sena tidak akan dapat membuka laman web http://www.facebook.com. Jadi, bagaimana jika ada pengguna di SK Sena yang perlu mengakses laman tersebut?
Internet
Keperluan untuk mengakses data (laman web, mp3, emel dan sebagainya) yang berada dalam server-server di luar rangkaian SK Sena mesti dilakukan melalui internet, iaitu rangkaian luaran yang secara ringkasnya, merupakan satu rangkaian besar hasil gabungan pelbagai rangkaian dalaman di pelbagai lokasi. Ini ditunjukkan dalam Rajah 2.
Rajah 2: Contoh sambungan internet antara pelbagai rangkaian intranet
Rajah 2 menggambarkan beberapa organisasi, yang mana setiap organisasi tersebut mempunyai rangkaian dalaman masing-masing. Setiap rangkaian dalaman ini pula mempunyai router yang menghubungkannya dengan dunia luar. Rangkaian gabungan yang luas seperti inilah yang dinamakan internet, dan sambungan seperti ini membolehkan komputer-komputer dalam satu rangkaian mengakses data dari komputer atau server yang berada dalam rangkaian lain. Sebagai contoh, kita dapat melihat bahawa wujudnya komunikasi antara rangkaian dalaman SK Sena dengan rangkaian dalaman syarikat Google Inc. yang berpusat di California, Amerika Syarikat. Ini membolehkan komputer-komputer dalam kawasan SK Sena mengakses laman web http://www.google.com/.
Kedua-dua rajah yang disertakan di atas memberikan gambaran asas tentang perbezaan antara rangkaian dalaman (intranet) dengan rangkaian luaran (internet). Yang menjadi isunya sekarang ialah, apabila seorang pengguna di SK Sena cuba membuka laman web http://cater.sksena.edu.my/, alamat tersebut merupakan alamat luaran. Untuk sampai ke CATER yang berada dalam kawasan SK Sena sendiri, permintaan dari komputer pengguna di SK Sena perlu bergerak melalui router keluar ke server DNS seperti dalam Rajah 2, keluar pula ke server lain (seperti server Telekom Malaysia), kemudian kembali ke router SK Sena dan ke komputer pengguna untuk memaparkan muka depan perkhidmatan CATER. Laluan inilah yang kadang kala menimbulkan masalah hingga CATER tidak dapat diakses menggunakan alamat luarannya. Bukankah lebih mudah jika ada cara di mana permintaan dari komputer pengguna di SK Sena dapat terus sampai ke CATER tanpa khidmat 'orang tengah'?
Di sinilah kelebihan yang ada pada perkhidmatan intranet dapat diaplikasikan. Bukan sahaja komputer pengguna dapat bersambung terus ke CATER, malah trafik data rangkaian dalaman mempunyai kelajuan berpuluh-puluh kali ganda kelajuan sambungan internet. Selagi anda berada dalam kawasan SK Sena, menggunakan rangkaian dalaman SK Sena, terdapat alamat-alamat alternatif untuk perkhidmatan-perkhidmatan CATER yang boleh anda gunakan, jika alamat luaran CATER mempunyai masalah.
PERKHIDMATAN | ALAMAT LUARAN | ALAMAT DALAMAN |
Akademia | akademia.sksena.edu.my | http://192.168.0.102/akademia/ |
SLiC (Pusat Sumber Sekolah) | pss.sksena.edu.my | http://192.168.0.102/pss/ |
Pengurusan Murid | student.sksena.edu.my | http://192.168.0.102/student/ |
Kehadiran Guru dan Staf | staff.sksena.edu.my | http://192.168.0.102/hr/ |
Tempahan Bilik Khas | reservation.sksena.edu.my | http://192.168.0.102/reservation/ |
Simpanan Data Berkelompok | cluster.sksena.edu.my | http://192.168.0.102/cluster/ |
Jadual 1: Alamat-alamat dalaman dan luaran untuk perkhidmatan-perkhidmatan CATER
Melalui alamat-alamat alternatif yang disenaraikan dalam Jadual 1, SenaNet mengharapkan agar pengguna-pengguna perkhidmatan CATER di SK Sena mempunyai pilihan jika menghadapi masalah untuk mengakses CATER dengan cara biasa. Ini akan membolehkan perkhidmatan-perkhidmatan tersebut digunakan secara optimum sepanjang masa.
Nota penulis: Disebabkan keperluan teknikal, alamat dalaman yang disenaraikan dalam artikel ini tidak lagi digunapakai. Pengguna yang ingin mengakses CATER menggunakan alamat dalaman boleh mendapatkan alamat terkini daripada AJK CyQUEST yang berdekatan. Pada masa yang sama, alamat luaran boleh digunakan seperti biasa.