Sekolah Kebangsaan Sena

Bercakap Dengan Komputer

TechNewsPengenalan

Pernahkah timbul persoalan, bagaimanakah sesebuah program/perisian (software) komputer dihasilkan? Apabila anda membayar sekitar RM 300.00 hingga lebih RM 1000.00 untuk mendapatkan Microsoft Office dengan lesen original, untuk apa bayaran itu sebenarnya? Ataupun beberapa ribu ringgit untuk pakej Adobe Photoshop, atau beberapa ratus ringgit untuk Microsoft Windows? Di manakah penat-lelah yang menuntut semua bayaran tersebut jika perisian-perisian komputer hanya muncul secara tiba-tiba dan dapat disalin dari CD ke CD tanpa menitiskan walau setitik peluh? Pernahkah juga timbul tanda tanya, bagaimana komputer dan perisian yang anda gunakan memahami arahan yang anda berikan? Apabila anda menekan butang 'New' pada perisian Office anda, bagaimana perisian tersebut tahu bahawa anda mahu membuka helaian baru?

Jawapan kepada semua persoalan tersebut sebenarnya terdapat dalam istilah 'Pengaturcaraan Komputer (Computer Programming)', sementara bahasa yang digunakan untuk melaksanakan pengaturcaraan komputer pula disebut sebagai 'Bahasa Pengaturcaraan (Programming Language)'. Bahasa pengaturcaraan ialah arahan yang digunakan olehContoh arahan dalam bahasa pengaturcaraan C. Sumber: Google. para pengaturcara (programmer) di seluruh dunia untuk menghasilkan pelbagai perisian dan aplikasi komputer yang ada hari ini. Apabila seseorang pengaturcara komputer menulis arahan menggunakan mana-mana bahasa pengaturcaraan, arahan tersebut perlu ditafsirkan menjadi bahasa binari (terdiri daripada digit 0 dan 1). Bahasa binari merupakan satu-satunya bahasa yang dapat difahami oleh komputer secara langsung tanpa memerlukan bantuan penterjemah. Proses pentafsiran ini dilakukan oleh program komputer yang disebut sebagai 'compiler'. Jika anda membayangkan seorang pengaturcara seperti seorang tukang masak, bahasa pengaturcaraan pula dapat dianggap sebagai segala ramuan yang diperlukan untuk menghasilkan satu-satu masakan, sementara compiler pula menjadi dapur, periuk dan belanga yang digunakan untuk memasak/memproses ramuan tersebut. Makanan yang terhasil di akhir proses berkenaan pula merupakan perisian komputer yang boleh digunakan oleh pengguna biasa seperti kita semua. Terdapat beberapa jenis bahasa pengaturcaraan, dan perbincangan kita akan berfokus kepada Bahasa Pengaturcaraan Compiler (Compiler Language) dan Bahasa Pengaturcaraan Terjemahan (Interpreted Language). Setiap jenis tersebut pula terdiri daripada beberapa bahasa pengaturcaraan seperti yang digariskan di bawah, sementara contoh untuk setiap bahasa pengaturcaraan akan diberikan di hujung artikel ini.

Compiler Language

Antara bahasa pengaturcaraan yang termasuk dalam kategori ini ialah C, C++, BASIC, COBOL, Fortran, Pascal dan banyak lagi. Setiap bahasa pengaturcaraan ini mempunyai fungsi, kelebihan dan kekurangan masing-masing. Pilihan untuk menggunakan yang mana satu bergantung kepada keperluan terhadap perisian yang ingin dihasilkan. Sebagai contoh, Fortran yang berasal daripada IBM Mathematical Formula Translating System merupakan sejenis bahasa pengaturcaraan yang lebih sesuai untuk pengiraan kompleks dalam bidang Sains, Kejuruteraan dan Matematik. Pada masa yang sama, bahasa pengaturcaraan C pula sesuai digunakan untuk menghasilkan sistem dan aplikasi komputer, sementara C++ pula merupakan bahasa pengaturcaraan yang berasal sebagai tambahan kepada C, namun kini berdiri sendiri sebagai bahasa yang lengkap. Sebagai bahasa compiler, perisian yang terhasil daripada semua bahasa ini tidak lagi terikat dengan arahan asal masing-masing. Sebaik sahaja setiap arahan selesai diproses oleh compiler, perisian-perisian yang terhasil dapat digunakan tanpa kehadiran bahasa pengaturcaraan yang menghasilkan perisian-perisian tersebut, atau apa yang lebih dikenali sebagai kod sumber (source code). Keadaan ini juga mewujudkan dua kelas perisian yang ada pada masa kini, iaitu sumber terbuka (open source) dan sumber tertutup (closed source). Mana-mana perisian yang memberikan arahan atau bahasa pengaturcaraan asal yang menghasilkan perisian berkenaan kepada pengguna untuk Contoh arahan dalam bahasa pengaturcaraan Fortran. Sumber: Google.diteliti, diubahsuai, diproses dan diterbitkan semula disebut sebagai perisian sumber terbuka. Mana-mana perisian yang merahsiakan kod sumber dan melarang kebebasan tersebut pula disebut sebagai perisian sumber tertutup.

Interpreted Language

Salah satu kelebihan compiler language ialah perisian yang terhasil dapat terus dijalankan oleh komputer tanpa perlu membaca arahan asal baris-demi-baris. Ini penting kerana sebahagian daripada perisian tersebut lahir daripada berjuta-juta baris bahasa pengaturcaraan, antaranya sistem operasi komputer seperti GNU/Linux, Windows dan Macintosh, serta perisian-perisian yang bersaiz besar seperti Adobe Photoshop dan Sony Vegas (penyunting video). Kekurangannya pula, sebarang perubahan tidak dapat dilakukan terus pada perisian yang terlibat, dan perlu dilaksanakan pada kod sumber asalnya, kemudian diproses (compiled) semula untuk menghasilkan perisian baru. Setiap kali anda membeli versi Microsoft Windows yang baru, atau menaiktaraf perisian antivirus anda kepada versi yang terkini, inilah yang dilakukan oleh para pengaturcara yang bertugas di syarikat-syarikat yang mengeluarkan perisian-perisian tersebut.

Di sinilah kelebihan interpreted language menjadi ketara. Perisian komputer yang ditulis menggunakan salah satu daripada pelbagai bahasa pengaturcaraan terjemahan tidak perlu diproses menjadi perisian yang siap, kerana setiap interpreted language mempunyai penterjemah/pentafsir (interpreter) yang membantu komputer untuk memahami arahan yang diberikan. Sebagai contoh, server yang menggunakan bahasa pengaturcaraan PHP untuk membina laman web perlu mempunyai program interpreter PHP itu sendiri, atau laman web tersebut tidak dapat dipaparkan dengan betul kepada pengguna. Begitu juga dengan bahasa pengaturcaraan Python yang digunakan untuk menghasilkan pelbagai skrip operasi dan (kadangkala) permainan komputer. Setiap komputer yang ingin menggunakan perisian yang dihasilkan menggunakan Python perlu mempunyai interpreter Python yang dapat dimuatturun dan dipasang (install) secara percuma. Selain itu, terdapat juga bahasa pengaturcaraan terjemahan yang mempunyai tugas khusus seperti MATLAB, Mathematica dan Octave yang digunakan untuk tujuan pengiraan kompleks dalam pelbagai bidang, JavaScript untuk pembinaan aplikasi tambahan di dalam dan di luar laman web, serta PostScript untuk tujuan penerbitan dan percetakan elektronik. Sebarang perubahan kepada perisian-perisian yang terhasil Contoh arahan dalam bahasa pengaturcaraan PHP. Sumber: Google.daripada bahasa-bahasa ini dapat dilakukan kepada arahan asal, dan perubahan tersebut akan terus muncul tanpa perlu dicompile semula. Namun, faktor ini juga menjadi kelemahan bahasa jenis ini apabila setiap arahan perlu dibaca baris-demi-baris setiap kali menjalankan perisian yang dihasilkan.

Rumusan

Seperti yang telah dinyatakan, setiap jenis dan bahasa pengaturcaraan mempunyai fungsi, kelebihan dan kekurangan masing-masing. Yang penting bagi setiap syarikat teknologi dan pengaturcara yang ingin menghasilkan satu-satu program komputer ialah untuk mengetahui bahasa pengaturcaraan yang sesuai untuk program tersebut, dan ini pula bergantung kepada fungsi program yang ingin dihasilkan. Jika anda ingin menghasilkan sistem komputer anda sendiri, C mungkin merupakan bahasa yang paling sesuai. Bagi mereka yang berminat untuk menghasilkan laman web interaktif pula, PHP dapat memenuhi kehendak tersebut. Untuk pengiraan kompleks melibatkan graf 3-Dimensi dalam Matematik pula, Octave dapat memberikan hasil yang memuaskan.

Jika anda berminat untuk cuba menghasilkan program/perisian komputer anda sendiri, contoh-contoh ringkas setiap bahasa yang disebutkan di atas dan banyak lagi dapat diperolehi menggunakan enjin carian Internet seperti Google (www.google.com). Tidak perlu juga membazirkan wang untuk membeli compiler, kerana dunia Sumber Terbuka menawarkan compiler percuma seperti GCC (GNU C Compiler) untuk bahasa pengaturcaraan C. Jika anda berminat untuk menjadi seorang pengaturcara komputer pula, anda boleh melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Komputer, di mana sahaja ia ditawarkan. Murid-murid sekolah rendah dan menengah boleh mula berjinak-jinak dengan konsep arahan komputer melalui perisian-perisian mudah seperti Scratch dan KTurtle. Prospek kerja dalam bidang pengaturcaraan komputer juga amat luas. Syarikat-syarikat teknologi multinasional seperti Google, Red Hat dan IBM memerlukan mereka yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi untuk memastikan kedudukan syarikat terus kukuh dalam pasaran yang semakin berkembang dan persaingan yang semakin sengit. Tidak keterlaluan juga untuk dikatakan bahawa Malaysia juga satu hari nanti akan lebih memerlukan syarikat, pengeluar dan pengaturcara komputernya sendiri, dalam usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada produk luar.

Yang penting untuk kita semua ketika ini ialah untuk memahami serba sedikit tentang konsep yang dibincangkan di sini. Jika anda ditanya, bagaimana perisian komputer dihasilkan, kini anda tahu jawapannya. Jika ditanya pula, apa itu bahasa pengaturcaraan komputer, anda tidak perlu lagi terpinga-pinga. Jika timbul selepas itu soalan tentang sumber terbuka, jawapnya, kod sumber arahan komputer yang bebas untuk semua.

Kaedah ringkas untuk memaparkan frasa Sekolah Kebangsaan Sena dalam beberapa bahasa pengaturcaraan - Sumber: Google

BAHASAARAHAN (KOD SUMBER)
C#include <stdio.h>
main()
{
printf("Sekolah Kebangsaan Sena");
}
C++#include <iostream>
using namespace std;
int main ()
{
cout << "Sekolah Kebangsaan Sena";
return 0;
}
Pythonprint "Sekolah Kebangsaan Sena"
PostScript%!PS
1.00000 0.99083 scale
/Courier findfont 12 scalefont setfont
0 0 translate
/row 769 def
85 {/col 18 def 6 {col row moveto (Sekolah Kebangsaan Sena)show /col col 90 add def}
repeat /row row 9 sub def} repeat
showpage save restore
BASIC10 PRINT "Sekolah Kebangsaan Sena"

Binary

Sumber: www.convertbinary.com

01010011 01100101 01101011 01101111 01101100 01100001 01101000 00100000 01001011 01100101 01100010 01100001 01101110 01100111 01110011 01100001 01100001 01101110 00100000 01010011 01100101 01101110 01100001


UPSR 2018

24.09.2018 08:00

Translations

Free Software For Education

A Word From The Creator Of Our Favorite Computer Operating System

Q: So, how do you feel about potentially billions of dollars of wealth being created from your creation that you're not necessarily directly cashing out?

A: So? If I hadn't made Linux available, I mean, I wouldn't have gotten a name, (or) money that way either. So I mean, it's a win-win situation. Just the fact that there are a lot of commercial companies, means that there are a lot of Linux people who used to work on Linux (kind of) along the side, and now they get paid for doing what they wanted to do. That helps me in the sense that I wanted them to work on Linux anyway.

- Linus Torvalds

 


 

No To Restricted Boot

This work by Erik Steinmann is licensed under a Creative Commons Attribution 3.0 Unported License.

Creative Commons License

 


 

Vote for open innovations and competitive technologies. Keep Patent Trolls™ out of education!

Pautan

Kerajaan Negeri Perlis

Anuban Satun School, Thailand

Laman Wikipedia SK Sena

MyGovernment

Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia

Open Source Competency Center

Multimedia Development Corporation

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

Kementerian Pendidikan Malaysia

Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Malaysia

Universiti Malaysia Perlis

Universiti Sains Malaysia

Universiti Pendidikan Sultan Idris

Institut Pendidikan Guru Perlis

Jabatan Pendidikan Perlis

Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia

Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perlis

Zoom-A

EDUWEBTV

Groklaw - Digging for Truth

GNUs Not Unix

Linux

The Internet's #1 Education Site for K-8 Kids and Teachers