Sekolah Kebangsaan Sena

Model Dan Animasi 3-Dimensi Dalam Blender

blenderBlender merupakan salah satu Perisian Sumber Terbuka dan Bebas (Free and Open Source Software, FOSS) yang digunakan dengan aktif di SK Sena untuk membentuk sifat kreatif dan inovatif dalam diri murid yang terlibat. Dengan status sebagai FOSS, perisian Blender boleh dimuatturun dari laman web rasmi pengeluar perisian tersebut, dipasang pada seberapa banyak komputer yang diperlukan, dan digunakan tanpa sebarang sekatan, semuanya secara percuma. Ini berbeza dengan perisian komersil dengan ciri-ciri yang hampir serupa, namun boleh menelan belanja sehingga belasan ribu ringgit.

Perbualan antara penulis dengan salah seorang jurulatih Akademi KRU menunjukkan bahawa teknik yang dipelajari dalam Blender boleh diaplikasikan dalam industri, sekalipun menggunakan perisian yang berbeza. Lebih menarik lagi, Blender dikeluarkan dengan versi yang boleh dipasang bukan sahaja dalam Linux, malah dalam sistem-sistem lain seperti FreeBSD, Windows dan Mac OS X. Dengan itu, pengguna-pengguna komputer yang masih belum mula bergerak ke arah sistem Sumber Terbuka juga boleh menggunakan Blender untuk menghasilkan model dan animasi 3-Dimensi.

Bagi pembaca yang kurang mengenali konsep tersebut, model dan animasi 3-Dimensi ialah produk visual yang kelihatan seolah-olah dibentuk menggunakan objek timbul seperti yang digunakan dalam siri Upin & Ipin, house smallBoBoiBoy dan Jimmy Neutron berbanding objek rata (flat) dalam animasi kartun 2-Dimensi seperti Spongebob Squarepants, Detektif Conan mahupun Keluang Man. Kelebihan menggunakan 3-Dimensi dalam penerbitan grafik dan animasi menjadikan produk yang diterbitkan kelihatan lebih realistik. Malah, simulasi 3-Dimensi yang dibekalkan dalam Blender turut membolehkan beberapa ciri alam seperti graviti, pergerakan zarah (particle) dan pencahayaan menyerupai dunia sebenar. Murid-murid SK Sena yang mengikuti latihan permodelan menggunakan Blender telah mengalami sendiri bagaimana posisi lampu yang diletakkan di dalam sebuah rumah mempengaruhi keadaan cahaya dan bayang-bayang dalam rumah yang dihasilkan. Tidak hairan jika sebahagian daripada mereka membesar sebagai arkitek ternama satu hari nanti.

Sebaik sahaja anda memasang perisian Blender dan membuka perisian tersebut, mesh (atau bahan) pertama yang dibekalkan kepada anda ialah sebuah kiub. Selain itu, terdapat beberapa jenis mesh lain yang terdapat dalam Blender seperti sfera, silinder, kon, permukaan rata (plane) dan bentuk donut (torus). Sejauh mana setiap mesh tersebut dimanipulasi untuk membentuk objek yang anda inginkan terpulang kepada kreativiti masing-masing. Setakat ini, anggota senior MEDIASENA telahpun mempelajari bagaimana untuk membangunkan sebuah rumah yang lengkap dengan dinding, pintu, tingkap dan perabot asas hanya dengan menggunakan satu f117 smallpermukaan rata. Sasaran seterusnya ialah untuk menghasilkan sebuah jet pejuang yang menyerupai pesawat pengebom F-117 milik Amerika Syarikat menggunakan tidak lebih daripada satu kiub.

Terdapat beberapa mod manipulasi mesh dalam Blender yang dapat memudahkan penghasilan objek jika digunakan dengan betul. Mod paling asas dikenali sebagai Mod Objek (Object Mode), di mana pengguna dapat menggabungkan beberapa mesh menjadi satu bentuk yang diinginkan. Mod Edit (Edit Mode) pula membolehkan pengguna mengubah satu-satu mesh kepada objek yang dikehendaki tanpa perlu menambah mesh yang lain. Proses ini membantu melancarkan penghasilan animasi, kerana hanya satu mesh yang perlu dikawal berbanding banyak mesh serentak. Terdapat juga Mod Lakaran (Sculpt Mode) untuk melakar mesh menjadi bentuk yang lebih licin dan semulajadi. Sebagai contoh, sebuah kiub dapat dibentuk menjadi kepala dan wajah manusia menggunakan mod ini. Selain bentuk objek, antara ciri lain pada objek yang dapat dikawal dalam Blender ialah warna dan tekstur (kulit). Begitu juga dengan elemen latarbelakang seperti tanah, langit, bintang-bintang dan sebagainya.

Sebaik sahaja anda berpuas hati dengan objek yang telah dicipta, proses seterusnya ialah untuk menghasilkan animasi atau pergerakan menggunakan objek dan persekitarannya. Salah satu istilah yang amat penting untuk difahami dalam proses ini ialah keyframe, atau rangka kekunci. Keyframe membolehkan animasi dihasilkan tanpa perlu menetapkan satu demi satu titik pergerakan, sebaliknya, hanya lokasi, sudut putaran dan skala saiz pada titik-titik penting sahaja. Pergerakan pada ruang di antara keyframe akan diekstrapolasi sendiri oleh Blender. Contohnya, pergerakan asas peluru meriam (sfera) dari mula hingga akhir hanya perlu dikunci pada titik permulaan, titik paling tinggi dalam pergerakan dan titik akhir sahaja. Bentuk balistik pergerakan tersebut diserahkan kepada Blender. Kaedah ini digunakan dalam MEDIASENA untuk menghasilkan simulasi pergerakancannonkey roket dalam sistem solar pada sesi latihan 2012.

Dalam Blender, tiga komponen utama yang perlu dikawal semasa menghasilkan animasi ialah lokasi, putaran dan skala, seperti yang disebutkan di atas. Gabungan ketiga-tiga komponen tersebut disenaraikan dalam pilihan keyframe sebagai LocRotScale. Pada masa yang sama, anda juga dapat mengunci pergerakan objek hanya dengan menggunakan salah satu, atau dua daripada komponen berkenaan, bergantung kepada keperluan. Satu perkara yang perlu diingat dalam membentuk pergerakan ialah kepentingan menjalankan kajian terhadap pergerakan objek yang serupa dalam dunia sebenar. Kesilapan dalam perkara ini mungkin menjadikan animasi yang anda hasilkan kelihatan aneh. Untuk menghasilkan filem animasi seperti The Lion King keluaran Walt Disney Pictures, animator yang terlibat mungkin perlu melihat bagaimana seekor singa berjalan, agar tidak membentuk pergerakan berjalan yang kekok.

Penghasilan model dan animasi 3-Dimensi memerlukan ketekunan dan fokus yang tinggi dalam proses kerja. Maklumat yang diperolehi dari petugas di Les' Copaque (penerbit Upin & Ipin) menyatakan bahawa seorang animator memproses sekitar hanya lima saat animasi untuk tempoh sehari bekerja. Selain itu, seorang pelukis model atau animator juga perlu mempunyai kebolehan untuk melihat produk yang ingin dihasilkan dari pelbagai sudut, kerana satu sudut tunggal tidak dapat memberikan perspektif penuh dalam dunia 3-Dimensi. Dengan cabaran seperti ini, animator-animator mahir yang bekerja di studio-studio ternama menerima bayaran yang lumayan untuk setiap penerbitan. Bagi mereka yang berminat untuk belajar dengan lebih lanjut tentang permodelan dan animasi 3-Dimensi dalam Blender, laman web tutorial seperti CG Cookie memaparkan pelbagai teknik dan tips untuk penerbitan yang berkesan. Anda juga boleh menggunakan Google untuk mencari lebih banyak laman web yang menawarkan bahan-bahan yang serupa. Selamat mencuba!

UPSR 2018

24.09.2018 08:00

Translations

Free Software For Education

A Word From The Creator Of Our Favorite Computer Operating System

Q: So, how do you feel about potentially billions of dollars of wealth being created from your creation that you're not necessarily directly cashing out?

A: So? If I hadn't made Linux available, I mean, I wouldn't have gotten a name, (or) money that way either. So I mean, it's a win-win situation. Just the fact that there are a lot of commercial companies, means that there are a lot of Linux people who used to work on Linux (kind of) along the side, and now they get paid for doing what they wanted to do. That helps me in the sense that I wanted them to work on Linux anyway.

- Linus Torvalds

 


 

No To Restricted Boot

This work by Erik Steinmann is licensed under a Creative Commons Attribution 3.0 Unported License.

Creative Commons License

 


 

Vote for open innovations and competitive technologies. Keep Patent Trolls™ out of education!

Pautan

Kerajaan Negeri Perlis

Anuban Satun School, Thailand

Laman Wikipedia SK Sena

MyGovernment

Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia

Open Source Competency Center

Multimedia Development Corporation

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

Kementerian Pendidikan Malaysia

Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Malaysia

Universiti Malaysia Perlis

Universiti Sains Malaysia

Universiti Pendidikan Sultan Idris

Institut Pendidikan Guru Perlis

Jabatan Pendidikan Perlis

Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia

Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perlis

Zoom-A

EDUWEBTV

Groklaw - Digging for Truth

GNUs Not Unix

Linux

The Internet's #1 Education Site for K-8 Kids and Teachers