Aktiviti-Aktiviti Terkini

Beberapa aktiviti dan program telah berlangsung di SK Sena pada 31 Julai dan 1 Ogos, 2009 yang melibatkan guru, murid dan staf.

{tab=Bulan Kecergasan}

SK Sena telah mengadakan sambutan Bulan Kecergasan pada 1 Ogos, 2009 dan pelbagai acara telah diadakan untuk memeriahkan sambutan tersebut. Program dimulai dengan Senam Seni dan senamrobik yang telah dikendalikan oleh jurulatih-jurulatih luar yang dijemput khas. Kemudian, murid-murid SK Sena berkumpul mengikut rumah sukan masing-masing untuk mengambil bahagian dalam beberapa acara sukaneka yang telah dirancang oleh ahli jawatankuasa sambutan. Antara acara yang dipertandingkan ialah Bowling Buah Kelapa, Menjaringkan Gol dan Melontar Bola ke Sasaran. Sebagai acara kemuncak pada hari tersebut, pertandingan orienteering telah diadakan dengan murid-murid bergerak di sekitar kawasan sekolah dalam kumpulan masing-masing menggunakan peta dan peralatan yang diberi untuk sampai ke setiap checkpoint. Hadiah-hadiah disampaikan oleh Penolong Kanan Kokurikulum, En. Mohd Jelani bin Jonid. Liputan media bagi Sambutan Bulan Kecergasan SK Sena telah disediakan oleh kru studio CyKidzCRAZE.

 

{tab=Matematik UPSR}

Bengkel Matematik untuk murid-murid Tahun 6 telah diadakan pada 1 Ogos, 2009 sebagai salah satu usaha SK Sena untuk mempersiapkan murid-murid dalam menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah yang akan berlangsung tidak lama lagi. Dalam sesi ini, murid-murid dibahagikan mengikut kumpulan berdasarkan kebolehan masing-masing dalam Matematik dan setiap kumpulan dibimbing oleh seorang guru. Sehubungan itu, SK Sena ingin menyampaikan penghargaan yang tidak terhingga kepada beberapa orang guru dari sekolah-sekolah sekitar Perlis yang turut memberikan sumbangan dalam menjayakan majlis, di mana mereka telah bertindak sebagai pembimbing kepada beberapa kumpulan murid. Turut terlibat ialah mantan Guru Besar SK Sena, En. Abd Hamid bin Hashim.

 

{tab=Lawatan SK Bintong}

Satu Lawatan Penanda Aras oleh guru-guru SK Bintong ke SK Sena telah berlangsung pada 31 Julai, 2009 mulai jam 3.30 petang hingga 6.00 petang. Lawatan tersebut dimulai dengan sesi taklimat oleh Guru Besar SK Sena kepada Guru Besar dan guru-guru SK Bintong. Dalam taklimat tersebut, En. Roslan bin Yatim telah memberikan gambaran ringkas tentang aktiviti-aktiviti yang berlangsung di SK Sena sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan program-program kebitaraan Sekolah Kluster Kecemerlangan SK Sena. Beberapa soalan telah dikemukakan oleh pihak SK Bintong, terutamanya tentang beberapa inisiatif pentadbiran SK Sena dalam pengurusan panitia dan pengambilan murid ke SK Sena.

Guru-guru SK Bintong kemudiannya dijemput menikmati jamuan yang disediakan, dan dibawa melawat sekitar kawasan sekolah untuk melihat bilik-bilik khas dan program-program kebitaraan yang berlangsung di SK Sena dengan lebih dekat. Antara yang menarik semasa lawatan tersebut ialah di mana guru-guru diberi peluang untuk cuba menggunakan Interactive Whiteboard di Mathematics Access Center yang diuruskan oleh Bitara Matematik, GENIUSMATHS manakala Guru Besar SK Bintong, Pn. Rodiyah bt Ali pula telah sudi untuk ditemuramah oleh kru CyKidzCRAZE di Studio AudioVisual yang diuruskan oleh Bitara ICT, S.E.N.A CyQUEST.

Keseluruhannya, lawatan sebegini dilihat dapat membuahkan manfaat kepada kedua-dua belah pihak melalui pertukaran pandangan dan maklumat berdasarkan program-program yang dijalankan, dan kekuatan yang terdapat di kedua-dua buah sekolah. Seluruh warga SK Sena mengucapkan terima kasih dan menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada SK Bintong kerana menjadi sekolah pertama di negeri Perlis yang mengadakan lawatan ke SK Sena.

Liputan media untuk lawatan ini disediakan oleh kru studio CyKidzCRAZE.

 

{tab=Buku Sokongan Pendidikan}

Bengkel Penulisan Buku Sokongan Pendidikan untuk guru-guru seluruh Perlis telah dianjurkan oleh SK Sena dengan kerjasama beberapa orang penyunting (editor) dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Makmal Komputer SK Sena pada 31 Julai, 2009 mulai jam 3.30 petang. Seramai 60 orang guru daripada SK Sena dan sekolah-sekolah seluruh Perlis telah mengambil bahagian dalam bengkel berkenaan yang berlangsung selama lebih kurang satu jam.

Dalam bengkel tersebut, para peserta telah diberi taklimat ringkas tentang buku sokongan pendidikan, iaitu buku rujukan tambahan yang ditulis berdasarkan Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran bagi menyokong buku teks. Editor-editor yang hadir dalam majlis tersebut juga telah menerangkan serba sedikit tentang fungsi buku sokongan pendidikan, teknik-teknik penulisan dan langkah-langkah penerbitan bagi sesiapa yang ingin menghasilkan buku sokongan pendidikan untuk matapelajaran sekolah.

Matlamat utama daripada bengkel tersebut ialah untuk menarik minat lebih ramai warga pendidik supaya menghasilkan buku sokongan pendidikan yang amat diperlukan sebagai bahan sampingan untuk membantu kefahaman murid terhadap Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran, serta menyampaikan maklumat-maklumat penting tentang kaedah-kaedah penulisan buku sokongan pendidikan. Memandangkan kepentingan yang ada dalam penghasilannya, dan faedah-faedah yang dapat diperolehi oleh guru-guru yang menulis dan berjaya menerbitkan bahan masing-masing, SK Sena bercadang untuk mengadakan satu kursus dalaman (in-house) berdasarkan bahan-bahan yang diedarkan semasa bengkel berkenaan agar maklumat tersebut dapat disampaikan kepada lebih ramai guru SK Sena.

SK Sena mengucapkan terima kasih kepada editor-editor Dewan Bahasa dan Pustaka yang sudi hadir untuk menyampaikan bahan mereka dalam bengkel tersebut, juga kepada Jabatan Pelajaran Perlis kerana telah memberikan kerjasama untuk mengedarkan surat jemputan kepada guru-guru sekolah seluruh Perlis.

Berikut merupakan bahan edaran Bengkel Penulisan Buku Sokongan Pendidikan. Pengguna dinasihatkan agar memuatturun bahan-bahan ini terlebih dahulu (Right-Click dan Save Target/Link As...) kerana bahan-bahan ini dimuatkan di sini sebagai imej dengan saiz yang agak besar untuk mengekalkan kualiti tulisan pada tahap yang boleh dibaca dengan jelas sebagai panduan untuk pengguna-pengguna yang berminat.

  1. Bengkel Penulisan Buku Sokongan Pendidikan - Muka 1
  2. Bengkel Penulisan Buku Sokongan Pendidikan - Muka 2
  3. Bengkel Penulisan Buku Sokongan Pendidikan - Muka 3
  4. Bengkel Penulisan Buku Sokongan Pendidikan - Muka 4
  5. Bengkel Penulisan Buku Sokongan Pendidikan - Muka 5
  6. Bengkel Penulisan Buku Sokongan Pendidikan - Muka 6
  7. Bengkel Penulisan Buku Sokongan Pendidikan - Muka 7
  8. Bengkel Penulisan Buku Sokongan Pendidikan - Muka 8
  9. Bengkel Penulisan Buku Sokongan Pendidikan - Muka 9
  10. Bengkel Penulisan Buku Sokongan Pendidikan - Muka 10
  11. Bengkel Penulisan Buku Sokongan Pendidikan - Muka 11

{/tabs}