Jalinan Kerjasama Berterusan

infoUniMAP, Pauh - Mesyuarat Perancangan Program Jalinan Sekolah Kluster Kecemerlangan bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 2013 telah diadakan di kompleks Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, di sini pada 7 Januari yang lalu untuk membincangkan program-program kecemerlangan yang boleh dilaksanakan bersama antara UniMAP dengan Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) di bawah bimbingan institusi tersebut.En. Roslan bin Yatim menerima cenderamata UniMAP daripada Dr. Kamarudin Hussin Mesyuarat tersebut yang telah dipengerusikan sendiri oleh YBhg Brig. Jen. Dato' Prof. Dr. Kamarudin bin Hussin, Naib Canselor UniMAP turut dihadiri oleh Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal (Timb. Naib Canselor Akademik & Antarabangsa), Prof. Dr. R. Badlishah Ahmad (Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer & Perhubungan), En. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah dan En. Raja Erman Shah Raja Arifin dari UniMAP.

Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan ialah laporan pencapaian jalinan UniMAP bersama SKK sepanjang tahun 2012, kekangan dan kelemahan yang perlu diatasi dalam pelaksanaan jalinan yang berkesan, serta perancangan aktiviti-aktiviti kecemerlangan yang berpotensi untuk dijalankan sebagai program jalinan dalam bidang inovasi dan teknologi seperti International Engineering Invention & Innovation Exhibition (i-ENVEX), International Invention Show (INOVA) dan Malaysian Universities Robot Competition (MURoC). Pihak UniMAP juga memberikan persetujuan ke arah membentuk Chapter (cawangan) ENVEX dan Kelab Jurutera Muda di sekolah-sekolah yang terlibat.

Guru Besar SK Sena, En. Roslan bin Yatim ketika mengulas tentang cadangan aktiviti SK Sena untuk tahun 2013 sempat menerangkan secara ringkas tentang dua program, iaitu International Competition in OSS Multimedia (ICOM) yang merupakan pertandingan penghasilan video peringkat dunia, dan Karnival Kebitaraan Rekacipta dan Inovasi SKK peringkat kebangsaan yang sedang dirancang di peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia. Pada masa yang sama, beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak UniMAP yang telah banyak memberikan sokongan, kerjasama dan bantuan kepada pihak sekolah dalam menjalankan aktiviti-aktiviti kebitaraan sejak diiktiraf sebagai SKK pada tahun 2008. Selain SK Sena, pihak lain yang dijemput ialah pentadbir sekolah dan wakil daripada dua buah lagi SKK di bawah bimbingan UniMAP, iaitu Sekolah Menengah Dato' Sheikh Ahmad, Arau, Perlis dan Sekolah Menengah Teknik Alor Setar, Kedah. Dr. Kamarudin bersama pegawai-pegawai UniMAP yang hadir turut berkesempatan mengiringi sekolah-sekolah jemputan melawat sekitar kawasan dan melihat pelbagai kemudahan terkini yang terdapat di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra yang merupakan perpustakaan utama kampus tersebut.

UniMAP telah berjaya meraih sebanyak 3 kemenangan bersama SK Sena (Anugerah Jalinan SKK - IPTA, Anugerah Rekacipta dan Inovasi SKK, Anugerah Amalan Terbaik SKK), dan 2 lagi bersama SMK Dato' Sheikh Ahmad (Anugerah Perdana, Anugerah Amalan Terbaik) dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Jalinan SKK - IPTA yang telah diadakan di Putrajaya pada bulan Oktober 2012.

Pihak sekolah mengucapkan terima kasih dan menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak UniMAP atas inisiatif perancangan jalinan untuk aktiviti-aktiviti kecemerlangan 2013, dan mengharapkan agar kerjasama erat ini akan sentiasa berterusan pada masa hadapan.

Foto ihsan Prof. Dr. R. Badlishah Ahmad.