Penjenamaan Semula Kehadiran Web SK Sena
- Butiran
- Dikemaskini pada Selasa, 03 September 2013 11:15
- Diterbitkan pada Selasa, 03 September 2013 10:02
- Pengarang: SK Sena
Sekolah Kebangsaan Sena baru-baru ini telah melaksanakan proses penjenamaan semula kehadiran web (web presence) organisasinya melalui beberapa inisiatif dalam usaha untuk meningkatkan tahap promosi dan publisiti sekolah dalam media elektronik. Antara inisiatif yang telah dijalankan ialah penjenamaan Saluran YouTube, pembangunan Laman Google+, pengemaskinian Suapan RSS (Rich Site Summary) dan pengekodan Data Berstruktur pada laman web rasmi SK Sena.
Youtube
URL: http://www.youtube.com/sksenaitnm/
Saluran YouTube Rasmi SK Sena mula diwujudkan pada tahun 2011 ketika sebilangan murid SK Sena menyertai Pertandingan Kreatif Sains dan Matematik Peringkat Kebangsaan anjuran Institut Terjemahan Negara Malaysia. Video yang dihasilkan untuk pertandingan tersebut perlu dimuatnaik ke dalam portal video YouTube sebelum didaftarkan dengan penganjur pertandingan. Kini, portal video berkenaan telah ditambahnilai dengan identiti rasmi SK Sena dan memuatkan video-video berkaitan SK Sena yang terdapat dalam koleksi YouTube. Pada masa yang sama, koleksi penuh video-video terbitan SK Sena boleh dilayari dalam Galeri Video laman web rasmi SK Sena di http://www.sksena.edu.my/top-galeri/video.
Google+
URL: https://plus.google.com/117152061395713110053/
Google+ merupakan salah satu alternatif rangkaian sosial kepada Facebook. Berbanding pesaing utamanya, Google+ pada masa ini lebih tertumpu kepada kumpulan sasaran dan penggunaan yang lebih profesional, dan mempunyai bilangan pengguna yang terhad. Fungsi utama Laman Google+ Rasmi SK Sena ialah untuk menyebarkan maklumat tentang berita-berita terkini dan aktiviti-aktiviti utama yang berlangsung di SK Sena, serta menjadi sarana untuk para pelawat mengetahui perkembangan pembangunan infrastruktur ICT SK Sena dari semasa ke semasa.
Suapan RSS
URL: http://www.sksena.edu.my/component/ninjarsssyndicator/?feed_id=1&format=raw
SK Sena telahpun mewujudkan perkhidmatan Suapan RSS (RSS Feed) sejak tahun 2012 sebagai satu nilai tambah kepada para pengunjung laman web rasmi SK Sena. Suapan RSS yang juga dikenali sebagai 'Live Bookmark' merupakan perkhidmatan yang membolehkan para pengunjung mendapatkan maklumat langsung setiap kali kandungan laman web rasmi SK Sena dikemaskini. Berita-berita terkini daripada SK Sena akan muncul secara automatik dalam senarai 'Bookmark' pelayar web pengunjung. Anda hanya perlu mengunjungi URL yang tertera di atas dan menekan butang 'Subscribe' untuk melanggan. Tiada sebarang bayaran dikenakan untuk perkhidmatan tersebut.
Data Berstruktur
Penyenaraian dalam enjin-enjin carian terkemuka seperti Google, Yahoo! dan Bing merupakan aspek yang amat penting dalam menentukan tahap kehadiran web sesebuah organisasi. Pentadbir sistem yang memahami aspek ini berusaha untuk memastikan agar kandungan laman web organisasinya menepati kehendak teknikal enjin-enjin carian agar semua keperluan berada pada tahap optimum. Proses ini juga disebut sebagai 'Search Engine Optimization' atau SEO. Salah satu kaedah yang digunakan untuk meningkatkan tahap profesionalisme penyenaraian laman web dalam enjin carian ialah dengan menggunakan Data Berstruktur (Structured Data), atau juga dikenali sebagai 'Rich Snippets'. Data Berstruktur membolehkan bukan sahaja nama laman web dan kandungannya disenaraikan, malah beberapa data yang lebih berkesan seperti logo organisasi, maklumat perhubungan, penarafan bintang (review) untuk laman web berkenaan dan banyak lagi. Laman web rasmi SK Sena kini telah dikodkan untuk tujuan tersebut dan semua pengekodan yang dilakukan akan diindeks oleh enjin-enjin carian dalam masa terdekat.
Semua pautan yang disenaraikan boleh didapati dalam laman web rasmi SK Sena.
Ketika bercakap kepada wartawan MEDIASENA tentang penaiktarafan tersebut, Guru Besar, En. Roslan bin Yatim mengulas bahawa inisiatif-inisiatif berkenaan dilaksanakan setelah catatan kunjungan ke laman web rasmi SK Sena mencecah 1 juta pada pertengahan tahun 2013.
"Pentadbiran sekolah telah mencetuskan beberapa idea untuk mengembangkan lagi potensi kemudahan Internet yang digunapakai oleh SK Sena ketika ini berdasarkan trend-trend terkini dalam penggunaan pelbagai teknologi berasaskan web. Kami sentiasa melihat bahawa pengeksploitasian teknologi yang pelbagai bukan sahaja dapat mendedahkan kehadiran SK Sena dalam Internet kepada pelbagai pihak di seluruh dunia, malah turut membuka lebih banyak peluang kecemerlangan untuk warga sekolah pada masa hadapan jika dilakukan dengan betul dan terancang. Idea-idea tersebut kemudiannya diperhalusi dan dilaksanakan oleh jawatankuasa Program Persekitaran Pintar SK Sena, S.E.N.A CyQUEST."
Ujar beliau lagi,
"Pada masa yang sama, pihak sekolah juga telah meningkatkan tahap pengiktirafan dan memperkembangkan lagi modul latihan pengaturcaraan komputer yang dijalankan di SK Sena melalui pendaftaran sebagai salah satu lokasi Code Club World, iaitu rangkaian kelab pengaturcaraan komputer sedunia untuk kanak-kanak yang diasaskan di United Kingdom."
SK Sena merupakan lokasi pertama seumpamanya di Malaysia dan buat masa ini merupakan satu-satunya lokasi tempatan, serta merupakan salah satu daripada empat lokasi di sekitar rantau Asia Tenggara. Lokasi-lokasi serantau Code Club World yang lain ialah di Tanglin Trust School, Singapura, Shrewsbury International School, Bangkok, Thailand dan Rumah Pintar Multimedia, Surabaya, Indonesia.