Program Inovasi Kapal Terbang Kawalan Jauh
- Butiran
- Dikemaskini pada Khamis, 06 Ogos 2015 11:35
- Diterbitkan pada Khamis, 06 Ogos 2015 11:23
- Pengarang: Administrator
SKIPGM - Pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad tanggal 31 Julai, 1 dan 2 Ogos 2015, telah berlangsung Program Inovasi Membina Kapal Terbang Kawalan Jarak Jauh. Program ini dikendalikan oleh dua buah Sekolah Kluster di negeri Perlis iaitu SK Sena dan SK IPGM. Program ini telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Azlan Bin Man, Menteri Besar Perlis. Seramai 142 orang murid telah menyertai program ini. Mereka terdiri daripada murid tahun 3, 4 dan 5.
Objektif program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada murid tentang aktiviti di luar kelas terutama dari segi teknikal pemasangan kapal terbang, melatih murid-murid dari segi ketahanan mental dan fizikal ketika melibatkan diri dalam aktiviti lapangan, dan meningkatkan kesedaran dengan aktiviti di lapangan agar murid-murid dapat melibatkan diri secara aktif berkenaan aspek teknikal. Ia juga dapat memupuk nilai murni dalam diri setiap murid dalam aspek kerjasama di dalam kumpuan. Sepanjang tiga hari penglibatan mereka dalam program ini, jelas dilihat mereka selesa dan aktif dalam menumpukan perhatian dan memberi sepenuh kerjasama dalam membina kapal terbang kawalan jarak jauh masing-masing.
Acara dimulai dengan bengkel pertama iaitu pemasangan badan, sayap dan ekor kapal terbang oleh peserta. Selepas pemasangan selesai, peserta diberi masa untuk menghias kapal terbang masing-masing mengikut kreativiti dengan menggunakan sticker yang dibekalkan. Bengkel kedua berlangsung di sebelah petang di mana peserta didedahkan dengan pemasangan kipas pada sayap kapal terbang. Peserta begitu teruja ketika aktiviti berlangsung.
Sabtu 1 Ogos 2015 berlangsungnya bengkel ketiga di mana para jurulatih menunujukkan cara memasang enjin pada kapal terbang. Selepas pemasangan enjin, sesi demostrasi dilakukan di mana jurulatih menunujukkan cara mengendalikan kapal terbang kawalan jarak jauh dengan betul. Bengkel keempat berlangsung sebelah petang di mana sebanyak 36 kumpulan bersedia untuk menguji penerbangan kapal terbang masing-masing. Ketika ini adalah detik yang paling mengujakan para peserta. Sepanjang dua hari bengkel tersebut, seramai enam belas orang jurulatih jemputan dari Thailand telah berjaya mengendalikan bengkel tersebut dengan baik dan peserta dapat melaksanakan tugasan mereka dengan sempurna.
Pada penjurian terakhir, tiga kumpulan telah terpilih di setiap buah sekolah bagi meraih pingat emas, perak dan gangsa. Kejayaan yang dicapai oleh para peserta sangat membanggakan dan mereka telah menerbangkan kapal terbang masing-masing di majlis perasmian program ini.
Ketika ucaptama YAB Menteri Besar Perlis, beliau berharap agar program seumpama ini diteruskan pada masa akan datang agar generasi muda dapat memupuk minat dalam bidang teknologi ini. Beliau telah menyerahkan sumbangan berbentuk cek kepada setiap sekolah agar program seumpama ini dapat diteruskan di masa hadapan.
Guru besar SK Sena, Encik Roslan Bin Yatim mengucapkan tahniah kepada semua guru yang terlibat yang telah berjaya menganjurkan program yang sangat berguna ini. para pentadbir juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dato' Seri Azlan Bin Man, Menteri Besar Negeri Perlis di atas kesudian beliau merasmikan program ini. Beliau berharap agar program seperti ini akan sentiasa dapat dijalankan pad masa akan datang.