Pendaftaran Prasekolah dan Tahun 1 Sesi 2017
- Butiran
- Dikemaskini pada Rabu, 04 Januari 2017 17:23
- Diterbitkan pada Rabu, 04 Januari 2017 17:11
- Pengarang: Administrator
SK SENA, Kangar - Murid-murid Prasekolah dan Tahun 1 yang diterima masuk ke Sekolah Kebangsaan Sena untuk sesi persekolahan 2017 mendaftarkan diri bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing pada 2 Januari 2017 dalam satu majlis yang diadakan di Kantin sekolah. Majlis tersebut bertujuan untuk menyampaikan maklumat tentang prosedur persekolahan kepada para murid dan ibu bapa, dan telah bermula seawal jam 8.30 pagi dengan pendaftaran murid yang hadir.
Selesai pendaftaran, setiap murid diiringi ke kelas-kelas yang berkenaan untuk Ujian Penempatan untuk menentukan kelas yang akan mereka duduki apabila jadual persekolahan sebenar bermula pada 3 Januari 2017 nanti. Ujian berkenaan melibatkan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira, serta dikendalikan oleh Guru Kelas yang bertugas pada hari tersebut. Pada masa yang sama, ibu bapa dan penjaga murid mengikuti beberapa sesi taklimat untuk mendapatkan gambaran yang lebih lanjut tentang persekolahan anak jagaan masing-masing di SK Sena.
Taklimat awal telah disampaikan oleh Guru Besar, En. Jaffri bin Othman. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa setiap murid yang diterima masuk bersama ibu bapa dan penjaga dianggap sebagai sebahagian daripada komuniti SK Sena, dan mengajak semua pihak bersama-sama memberikan komitmen untuk menjayakan agenda pendidikan dan kecemerlangan sekolah.Beliau juga menerangkan tentang program DLP yang dijalankan di Sekolah Kebangsaan Sena. Seterusnya, taklimat kedua oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Pn. Ida @ Jannyah mengkhususkan kepada undang-undang dan peraturan sekolah, serta bantuan persekolahan dan kebajikan murid. Taklimat terakhir untuk hari tersebut telah disampaikan oleh Pn. Suriahani binti Shamsudin. Beliau menerangkan kepada para ibu bapa dan penjaga tentang proses kemasukan Tahun 1 dan Prasekolah, serta program transisi yang telah dirancang untuk memudahkan persekolahan murid-murid baru di SK Sena.
Pihak sekolah mengucapkan selamat memasuki alam persekolahan kepada semua murid yang terlibat, serta menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua yang telah membantu menjayakan program pendaftaran murid Tahun 1 dan Prasekolah 2017.