Sekolah Kebangsaan Sena

Bilik dan Kawasan Khas

STUDIO CyKidzCRAZE

Studio CyKidzCRAZE

Studio CyKidzCRAZE merupakan sebuah studio penerbitan audiovisual yang dikendalikan oleh guru dan murid SK Sena, di mana guru bertugas sebagai pengawas dan pembimbing, sementara kerja-kerja penerbitan dari penggambaran hinggalah ke penyuntingan dijalankan sepenuhnya oleh murid yang terlatih. Buat masa ini, studio ini mempunyai kebolehan produksi satu kamera (Single Camera Production, SCP) dengan kemudahan-kemudahan berkaitan seperti kamera video, sistem bunyi dalaman, stesen suntingan serta stesen salinan dan simpanan. Operasi dijalankan berdasarkan projek penggambaran semasa. Oleh itu, studio ini tidak mempunyai masa operasi yang khusus. Antara program yang dijalankan oleh CyKidzCRAZE ialah temuramah dengan tetamu yang melakukan lawatan ke SK Sena, penggambaran luar di bawah aktiviti KWN (Panasonic Kids Witness News) serta latihan-latihan kemahiran studio seperti Bengkel Kewartawanan dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Perlis (IPGMPs) dan Kursus Penggunaan Perisian Multimedia Berasaskan Sumber Terbuka dengan kerjasama OSSLab dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan, Universiti Malaysia Perlis (PPKKP, UniMAP).

OSSLab

 OSSLab

Makmal Penyelidikan dan Latihan Perisian Sumber Terbuka (OSSLab) SK Sena telah dibangunkan dengan kerjasama Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan, Universiti Malaysia Perlis (PPKKP, UniMAP) sebagai satu usaha untuk menyebarkan pengetahuan dan kemahiran kepada warga sekolah dan masyarakat umum tentang sistem dan perisian komputer berasaskan konsep sumber terbuka, serta kelebihan yang ada pada sistem dan perisian yang menggunakan konsep tersebut. OSSLab menganjurkan pelbagai aktiviti, khususnya untuk guru dan murid SK Sena dalam bidang penggunaan, penghasilan bahan dan multimedia sepanjang tahun. Makmal ini dibuka pada hari bekerja, 7.40 pagi hingga 5.00 petang. Selain latihan, OSSLab turut menjalankan peranan sebagai Pusat Operasi S.E.N.A CyQUEST, makmal pengujian bagi sistem-sistem baru yang ingin dipasang dan digunakan di SK Sena, dan pusat kawalan rangkaian (network) SK Sena yang diuruskan oleh SenaNet. Antara kemudahan khusus yang terdapat di OSSLab ialah percetakan berkualiti tinggi untuk dokumen rasmi dan penerbitan sekolah kendalian CyQUEST Publications, pentadbiran dan pengurusan kelompok pelayan (server) simpanan data berkapasiti tinggi kendalian CATER, dan pemprosesan multimedia berkelompok (menggunakan kaedah render farm) untuk menghasilkan lebih kuasa dan kelajuan untuk pemprosesan audiovisual sebagai sokongan kepada aktiviti Studio CyKidzCRAZE.

MATHEMATICS ACCESS CENTER

MAC

Mathematics Access Center (MAC) merupakan prasarana Pengajaran dan Pembelajaran berasaskan ICT di bawah kendalian GENIUSMATHS (Bitara Matematik). Antara kemudahan yang terdapat dalam MAC ialah komputer dengan sambungan terus ke rangkaian sekolah dan SmartBoard untuk Pengajaran dan Pembelajaran interaktif. MAC boleh memuatkan sehingga 40 orang murid pada satu-satu masa, dan berfungsi sepanjang waktu persekolahan. Penggunaan kemudahan Mathematics Access Center berjalan melalui sistem jadual dan tempahan.

GELANGGANG SENA JUMPERS

Sena Jumpers

Gelanggang Sena Jumpers merupakan bangunan latihan lompat tali di bawah kendalian Sena Jumpers (Bitara Lompat Tali). Latihan diadakan secara berkala selepas waktu persekolahan di gelanggang ini, sebagai persediaan untuk menghadapi kejohanan-kejohanan lompat tali sehingga ke peringkat antarabangsa. Berhampiran gelanggang init terdapat stor lompat tali untuk menyimpan peralatan-peralatan yang digunakan untuk latihan.

LAMAN PATRIOTIK

Laman Patriotik

Selain kemudahan prasarana yang membolehkan laman ini digunakan untuk Pengajaran dan Pembelajaran di luar bilik darjah, Laman Patriotik turut mengandungi pelbagai maklumat, khususnya yang berkaitan dengan tema pembangunannya. Laman Patriotik telah dibangunkan dan dikendalikan oleh Panitia Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) SK Sena, dan boleh digunakan pada bila-bila masa.

BILIK SAINS

Makmal Sains

Dengan kapasiti muatan lebih 40 pelajar pada satu-satu masa, Bilik Sains Sekolah Kebangsaan Sena mempunyai peralatan pelajaran yang lengkap dan diperbaharui dari semasa ke semasa untuk membolehkan pelajar-pelajar mendapat manfaat sepenuhnya dalam matapelajaran Sains. Kemudahan paparan LCD berskrin besar juga mampu menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lebih menarik.

PERPUSTAKAAN

Perpustakaan

Perpustakaan Sekolah Kebangsaan Sena menjadi pusat bagi banyak aktiviti pusat sumber. Di sinilah tersimpannya pelbagai bahan bacaan untuk pelbagai tahap pembacaan. Sudut NILAM yang ada di perpustakaan ini digunakan untuk analisis dan penyimpanan rekod NILAM bagi pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Sena. Selain itu, perpustakaan ini turut menyimpan pelbagai rekod berkaitan aktiviti-aktiviti pusat sumber. Semua bahagian perpustakaan ini telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk paparan dan penyampaian pengetahuan. Perpustakaan ini beroperasi mulai jam 7:00 pagi hingga 3:00 petang pada hari-hari persekolahan.

BILIK BIMBINGAN & KAUNSELING

Bimbingan & Kaunseling

Unit Bimbingan & Kaunseling berfungsi untuk merancang dan melaksanakan program-program untuk memastikan pelajar-pelajar sekolah ini sentiasa berada dalam keadaan yang ceria, bersemangat dan bersedia untuk belajar. Unit ini juga bertindak untuk mengenalpasti dan menyelesaikan masalah kaunseling yang timbul di kalangan pelajar. Sesi kaunseling di Sekolah Kebangsaan Sena dijalankan secara individu dan juga berkelompok.

KANTIN

Kantin

Apabila para pelajar Sekolah Kebangsaan Sena berehat, mereka bukan sahaja menjamu selera, bahkan mereka juga turut menerima hidangan ilmu yang terdapat di sekeliling kawasan kantin, termasuklah di atas meja makan mereka. Ini telah dilakukan atas inisiatif jawatankuasa pusat sumber untuk membolehkan para pelajar mamanfaatkan sepenuhnya masa rehat mereka.

LAMAN ILMU

Laman Ilmu

Satu lagi kawasan yang telah disediakan untuk para pelajar berehat sambil menimba ilmu. Di dalam laman berbentuk sangkar burung ini terdapat pelbagai bahan-bahan ilmiah untuk tatapan pelajar dan pelawat, antaranya buku bacaan dan pameran.

MAKMAL KOMPUTER

Makmal Komputer

Makmal Komputer Sekolah Kebangsaan Sena mampu memuatkan lebih 40 orang pada satu-satu masa, dan digunakan untuk pelbagai tujuan. Daripada menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran hinggalah kepada mengadakan kursus dan bengkel khas untuk guru dan pelajar, makmal komputer ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Sistem operasi (OS) yang terdapat di dalam makmal ini ialah Microsoft Windows dan Linux, di mana Sekolah Kebangsaan Sena sedang bersedia untuk memperkembangkan penggunaan perisian Linux dan Sumber Terbuka (Open Source) di kalangan warga Sena. Makmal ini turut memuatkan sebuah bilik server yang mengawal trafik internet bagi kebanyakan sambungan di Sekolah Kebangsaan Sena. Operasi makmal ini berjalan sepanjang waktu persekolahan.

BILIK SELF-ACCESS LEARNING (SAL)

Bilik SAL

Bilik SAL digunakan oleh guru-guru Bahasa Inggeris untuk memperkayakan lagi penguasaan subjek tersebut di kalangan para pelajar melalui penggunaan bahan-bahan pengajaran seperti kad bacaan, buku-buku cerita pada pelbagai tahap dan tayangan video dalam Bahasa Inggeris. Bilik SAL, seperti Makmal Komputer, turut dibuka sepanjang waktu persekolahan.

BILIK MESYUARAT

Bilik Mesyuarat

Bilik Mesyuarat digunakan oleh pihak pentadbiran sekolah dan guru-guru untuk mengadakan sesi latihan professional mingguan, taklimat, kursus, seminar dan perkara-perkara yang bersangkutan. Antara kemudahan yang terdapat di sini ialah sistem audio dan paparan LCD. Satu sistem yang akan mencatatkan penggunaan dan kehadiran mesyuarat serta sebuah televisyen LCD dengan sambungan rangkaian (network) juga akan diwujudkan untuk kegunaan Bilik Mesyuarat pada masa hadapan.

BILIK j-QAF

Bilik j-QAF

Guru-guru j-QAF bertanggungjawab untuk menyampaikan kemahiran Jawi, Al-Quran, Bahasa 'Arab dan Fardhu 'Ain. Untuk tujuan tersebut, sebuah bilik dengan persekitaran yang kondusif dan peralatan yang berkaitan telah disediakan untuk sesi j-QAF.

SURAU

Surau

Selain digunakan untuk tujuan solat, surau sekolah juga digunakan untuk tujuan pengajaran seperti mengadakan kursus-kursus agama dan kelas-kelas tasmi'.

PONDOK BACAAN

Pondok Bacaan

Terletak di sebelah Makmal Komputer, kawasan ini digunakan untuk pelbagai tujuan oleh guru-guru dan pelajar-pelajar. Semasa kelas berjalan, para guru boleh menggunakan kawasan ini untuk aktiviti-aktiviti kelas dalam suasana yang lebih terbuka untuk merangsang minda pelajar. Semasa rehat dan selepas waktu belajar pula, para pelajar boleh menggunakan kawasan ini untuk membaca, berehat, berbincang dan menyiapkan kerja sekolah. Dengan kegunaan yang pelbagai, pondok-pondok ini telah disediakan dengan bahan-bahan yang dapat menambah pengetahuan pelajar, seperti paparan-paparan dalam Bahasa Inggeris, istilah-istilah Sains dan lain-lain.

TAMAN SUMBER

Taman Sumber

Sebuah taman yang terletak di tengah-tengah kawasan sekolah telah didekasikan untuk Pusat Sumber Sekolah secara keseluruhan, apatah lagi dengan adanya wawasan untuk menjadikan "Sekolah Sebagai Pusat Sumber". Taman ini masih lagi dalam proses pembangunan, dan antara pembaharuan yang dicadangkan ialah untuk mewujudkan sebuah laluan refleksologi di sekelilingnya. Kemudahan ini akan dapat digunakan oleh warga sekolah untuk tujuan rekreasi pada masa rehat dan di luar waktu pembelajaran.

BILIK TAYANGAN

Bilik Tayangan

Dengan kemudahan audio-visual yang terkini, para pelajar dapat menikmati proses pengajaran dan pembelajaran berasaskan multimedia yang lebih menarik. Selain itu, di Bilik Tayangan juga murid-murid dibiasakan dengan interaksi antara murid dan guru, sesama murid SK Sena, dan antara murid SK Sena dengan murid dari pelbagai lokasi baik dari dalam dan luar negara melalui teknologi persidangan video menggunakan perisian Skype dan peralatan yang bersesuaian di bawah pengurusan IC Sena. Memandangkan fungsinya yang pelbagai, bilik ini beroperasi pada waktu persekolahan dan apabila sesuatu program sedang berjalan. Update: Bilik Tayangan kini dilengkapi kemudahan SmartBoard untuk Pengajaran dan Pembelajaran interaktif.

BILIK BAHAN BANTU MENGAJAR

Bilik BBM

Di sinilah bahan-bahan bantuan pengajaran untuk guru-guru tersimpan. Para guru yang ingin menggunakan bahan-bahan yang terdapat di sini untuk menjadikan suasana pengajaran lebih ceria dan seterusnya meningkatkan daya kefahaman para pelajar boleh berurusan sepanjang waktu persekolahan.

BILIK BOSS

Bilik BOSS

Bilik BOSS bertanggungjawab menyelenggarakan urusan Skim Pinjaman Buku Teks para pelajar. Di sinilah buku teks dipinjam pada awal tahun dan dipulangkan pada akhir tahun. Segala urusan keluar masuk buku teks direkodkan oleh pengurusan bilik BOSS.

DARUL FALAH

Darul Falah

Dengan kemudahan paparan LCD, percetakan dan Bahan Bantu Mengajar yang pelbagai, Darul Falah merupakan tempat di mana kelas-kelas pemulihan dijalankan untuk murid-murid yang menghadapi masalah dalam matapelajaran yang di ajar di dalam kelas. Di sini, penekanan diberikan kepada kemahiran asas bagi matapelajaran yang berkenaan, berbanding sukatan sebenar yang digunakan oleh guru matapelajaran. Darul Falah beroperasi sepanjang waktu persekolahan, di mana murid-murid yang terlibat dengan program pemulihan daripada setiap aliran sudahpun mempunyai jadual masing-masing.

PAPAN-PAPAN KENYATAAN

Papan Kenyataan

Terdapat begitu banyak kawasan dan laluan, seperti Laluan Ilmu, yang memuatkan pelbagai bahan baik daripada pihak sekolah mahupun pelajar sendiri. Kawasan-kawasan ini digunakan untuk menyebarkan maklumat dan pengetahuan kepada warga sena dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan aktiviti-aktiviti sekolah.

 

UPSR 2018

24.09.2018 08:00

Translations

Free Software For Education

A Word From The Creator Of Our Favorite Computer Operating System

Q: So, how do you feel about potentially billions of dollars of wealth being created from your creation that you're not necessarily directly cashing out?

A: So? If I hadn't made Linux available, I mean, I wouldn't have gotten a name, (or) money that way either. So I mean, it's a win-win situation. Just the fact that there are a lot of commercial companies, means that there are a lot of Linux people who used to work on Linux (kind of) along the side, and now they get paid for doing what they wanted to do. That helps me in the sense that I wanted them to work on Linux anyway.

- Linus Torvalds

 


 

No To Restricted Boot

This work by Erik Steinmann is licensed under a Creative Commons Attribution 3.0 Unported License.

Creative Commons License

 


 

Vote for open innovations and competitive technologies. Keep Patent Trolls™ out of education!

Pautan

Kerajaan Negeri Perlis

Anuban Satun School, Thailand

Laman Wikipedia SK Sena

MyGovernment

Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia

Open Source Competency Center

Multimedia Development Corporation

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

Kementerian Pendidikan Malaysia

Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Malaysia

Universiti Malaysia Perlis

Universiti Sains Malaysia

Universiti Pendidikan Sultan Idris

Institut Pendidikan Guru Perlis

Jabatan Pendidikan Perlis

Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia

Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perlis

Zoom-A

EDUWEBTV

Groklaw - Digging for Truth

GNUs Not Unix

Linux

The Internet's #1 Education Site for K-8 Kids and Teachers