Pertandingan Cabaran Senaku 2013
- Butiran
- Dikemaskini pada Jumaat, 01 November 2013 05:39
- Diterbitkan pada Khamis, 31 Oktober 2013 14:56
- Pengarang: SK Sena
SK SENA, Kangar - Bidang kebitaraan Matematik SK Sena, GENIUSMATHS dengan kerjasama bidang kebitaraan ICT, S.E.N.A CyQUEST hari ini menganjurkan pertandingan Sudoku dalam talian (online) SK Sena, Cabaran Senaku sempena program Jejak Matematik 2013 untuk murid-murid Tahun 6 yang selesai menghadapi peperiksaan UPSR baru-baru ini. Pertandingan tersebut yang melibatkan seramai 40 orang murid dalam pasukan masing-masing memerlukan setiap pasukan menyusun angka-angka 1 hingga 9 dalam 9 kotak tanpa mengulang mana-mana nombor dalam setiap baris dan lajur.
Cabaran Senaku 2013 yang berlangsung di Makmal Komputer bermula seawal jam 9.00 pagi, di mana para peserta bersaing untuk merebut hadiah-hadiah lumayan yang ditawarkan. Pertandingan berlangsung dalam tiga pusingan, dengan pusingan pertama memaparkan cabaran pada tahap Mudah, pusingan kedua pada tahap Normal, manakala pusingan akhir untuk menentukan pemenang-pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga diadakan pada tahap Sukar. Kemenangan ditentukan berdasarkan catatan masa terpantas untuk setiap pusingan oleh setiap pasukan yang mengambil bahagian.
Menurut penyelaras program, Pn. Rashida binti Hasim, permainan Sudoku moden yang dikenali ramai pada hari ini bermula dengan beberapa jenis permainan nombor awal yang dipelopori oleh pelbagai pihak di Jepun, Perancis, Amerika Syarikat dan banyak lagi. Permainan tersebut bukan sahaja menguji kepantasan murid-murid yang terlibat dalam menyusun nombor secara logik, bahkan turut membantu dalam melatih kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah. Cabaran Senaku 2013 merupakan yang pertama kali seumpamanya dianjurkan di SK Sena, dan GENIUSMATHS merancang untuk terus mengadakan pertandingan yang serupa dari semasa ke semasa dengan melibatkan penyertaan daripada kumpulan sasaran yang lebih besar
Pihak penganjur mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu menjayakan Cabaran Senaku dan program Jejak Matematik 2013, serta menyampaikan ucapan tahniah kepada peserta-peserta yang berjaya menyelesaikan cabaran-cabaran yang disediakan. Para pengunjung laman web rasmi SK Sena yang berminat untuk mencuba cabaran Senaku boleh melayari permainan berkenaan pada menu Senaku dalam ruangan GENIUSMATHS, atau terus melalui alamat langsung di http://www.sksena.edu.my/senaku. Liputan program disediakan oleh MEDIASENA.