Sekolah Kebangsaan Sena

Pelancaran Hari Peringatan Antidadah

SK SENA, Kangar - Sekolah Kebangsaan Sena hari ini telah melancarkan Hari Peringatan Antidadah 2010, sempena pelancaran peringkat kebangsaan pada 19 Februari yang lalu. Majlis dimulakan dengan bacaan ikrar oleh Ketua Pengawas SK Sena, Haniff Izudeen bin Ahmad Fauzi dengan diikuti oleh semua murid. Seterusnya, perutusan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dato' Hj. Alimuddin bin Hj. Mohd Dom telah disampaikan oleh En. Saifur Ridzwan bin Mustaffa. Perasmian pelancaran kemudiannya disempurnakan oleh Guru Besar, En. Roslan bin Yatim.
 
 

 

PERUTUSAN

 

Y. BHG. TAN SRI DATO' HJ. ALIMUDDIN BIN HJ. MOHD DOM

KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

 

SEMPENA HARI PERINGATAN ANTIDADAH KEBANGSAAN

19 FEBRUARI 2010

 

1MALAYSIA MEMBANTERAS DADAH

 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Kepada : SEMUA WARGA SEKOLAH

Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana atas limpah kurnia-Nya maka dapat kita berjumpa dalam majlis yang mempunyai makna yang besar kepada kita. Setiap tahun, pada tanggal 19 Februari kita akan mengadakan Sambutan Hari Peringatan Antidadah Peringkat Kebangsaan. Sambutan ini adalah sebagai mesej betapa kita amat benci akan najis dadah. Sambutan Hari Peringatan Antidadah Kebangsaan ini adalah manifestasi komitmen kita semua dan juga memberi gambaran bahawa momentum kita masih laju untuk melaksanakan usaha-usaha pencegahan dadah di peringkat awal terutamanya kepada kumpulan umur yang masih berada di bangku sekolah.

Kesungguhan kita untuk menyatakan benci kepada dadah bukanlah hanya pada tarikh hari peringatan ini sahaja tetapi kerajaan Malaysia dan warganya sentiasa merealisasikan rasa benci kepada dadah melalui usaha yang berterusan bagi memastikan warganya bebas daripada gejala dadah. Tarikh Hari Peringatan Antidadah Kebangsaan yang diputuskan pada 19 Februari pada setiap tahun ini merupakan simbol bahawa negara kita Malaysia sentiasa bertindak secara bersepadu bagi memastikan dunia bebas daripada dadah.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah diberi tanggungjawab untuk merancang dan melaksanakan Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) di sekolah-sekolah seluruh negara. Di samping itu juga, KPM amat menyedari bahawa punca dan masalah dadah pada hari ini semakin rumit dan telah melibatkan pelbagai pihak termasuklah golongan dewasa, remaja, dan murid-murid sekolah. Keadaan ini menjadi lebih genting disebabkan pengeluaran pelbagai jenis dadah termasuk dadah tiruan yang semakin bertambah. Keadaan ini menyebabkan murid-murid sekolah seluruhnya sentiasa terdedah dan berada dalam keadaan berisiko untuk turut terlibat. Ini bermakna semua pihak mesti memainkan peranan secara bersungguh-sungguh dalam usaha memerangi gejala ini daripada terus berleluasa dan bermaharajalela.

Tuan-tuan/puan-puan dan murid-murid sekalian,

Bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kofi Annan pernah menyatakan bahawa :

"Illicit drugs destroy innumerable individual lives and

undermine our societies. Confronting the illicit trade in

drugs and its effects remains a major challenge for the

international community."

Penyataan ringkas ini jelas menggambarkan betapa seriusnya masalah yang terpaksa dihadapi oleh masyarakat antarabangsa berkaitan dengan dadah dan peruntukan dibelanjakan untuk menghadapi masalah ini adalah sangat besar. Semakin tinggi teknologi dan semakin maju dunia maka semakin canggih usaha pengedaran dadah dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Kumpulan ini langsung tidak memikirkan musibah yang akan menimpa warga yang terjebak dengan dadah kerana mereka hanya memikirkan keuntungan semata-mata. Mereka juga tidak ambil peduli tentang masalah-masalah sosial yang timbul kesan daripada aktiviti haram mereka.

Akibatnya, kita sering sangat didedahkan dengan kisah kecurian, pembunuhan dan kejadian ragut yang kebanyakannya dilakukan oleh penagih-penagih dadah semata-mata hanya kerana mahukan wang untuk mendapatkan bahan khayal tersebut. Kita juga pernah digemparkan dengan penemuan makmal-makmal memproses dadah di bangunan kedai atau rumah-rumah sehinggakan jiran tetangga pun tidak perasan dengan kewujudan makmal-makmal tersebut di kawasan petempatan mereka. Walau bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada pasukan keselamatan negara kita kerana dengan semangat dan iltizam mereka yang tinggi, ramai penagih dan pengedar dadah telah ditangkap serta sejumlah tempat memproses dadah telah dibongkar dan dimusnahkan.

Walaupun tangkapan demi tangkapan berjaya dilakukan oleh pihak berkuasa namun pengedaran dan pemprosesan dadah tetap juga berlaku seolah-olah tindakan pihak berkuasa ini tidak memberikan sebarang kesan kepada penjenayah terbabit. Hal yang lebih membimbangkan lagi ialah kita mungkin juga tidak mengetahui bahawa di sekeliling kita ada pengedar kecil-kecilan yang cuba meneroka pasaran kecil, terutamanya aktiviti penggedaran dadah yang menjadikan remaja sebagai golongan sasaran mereka.

Justeru itu, perjuangan menentang pengedaran dan penyalahgunaan dadah ini mesti diteruskan. Kesepaduan kerja hendaklah dibuktikan di semua peringkat supaya usaha pencegahan menjadi lebih berkesan, bermakna dan diyakini tanpa mengira masa, bangsa, budaya dan sempadan geografi. Sebab itulah, perjuangan peribadi yang paling penting dan berkesan yang mesti ada pada murid-murid ialah MENGATAKAN TIDAK KEPADA DADAH.

Tuan-tuan/puan-puan dan murid-murid sekalian,

Berdasarkan World Drug Report 2008 oleh UNODC, keluasan keseluruhan penanaman opiat adalah seluas 235,700 hektar dan penghasilan dadah sintetik dalam kategori Amphetamine-type Stimulants (ATS) mencecah sebanyak 494 tan metrik dalam tahun 2007. Jumlah ini sebenarnya cukup besar untuk kegunaan pasaran di kebanyakan benua di dunia ini. Pengeluaran Amphetamine-type Stimulants (ATS) seperti ecstasy, methamphetamine (syabu) dan amphetamine oleh Eropah mula meningkat selepas tahun 2005 dan keluasan pasarannya sudah melangkaui ke negara-negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

Fenomena ini sangat membimbangkan semua pihak, seolah-olah ada usaha terancang sedang dilakukan oleh kartel dadah antarabangsa untuk meneroka pasaran di Malaysia. Tidak cukup dengan itu, muncul pula beberapa insiden melibatkan warganegara Malaysia yang diperdaya untuk mengedar dadah di peringkat antarabangsa. Seolah-olah bangsa Malaysia sedang cuba dibinasakan secara perlahan-lahan sehingga menjejaskan jati diri dan akar budaya masyarakat Malaysia yang sekian lama dijunjung dan dipelihara. Kesan langsung agenda ini ialah berlakunya transformasi budaya yang semakin terhakis.

Penghakisan budaya dan norma ketimuran ini ditokok pula dengan kesan-kesan sosial lain yang tercetus daripada keganasan gelombang globalisasi. Budaya hedonisme dalam kalangan remaja, hubungan seks bebas, pengambilan alkohol, pegangan agama yang longgar dan sebagainya memburukkan lagi situasi sedia ada. Walaupun hanya sekumpulan kecil sahaja yang terlibat dalam isu kebejatan sosial ini namun pengaruhnya cukup kuat kepada remaja kerana golongan ini mudah hanyut dengan aspek-aspek keseronokan sehinggakan mereka tidak mampu membuat penilaian matang. Kita juga bimbang dengan kesan keganasan gelombang globalisasi ini kerana keharmonian dan keamanan negara kita mungkin akan binasa dalam tempoh satu atau dua generasi jika langkah bijak dan tegas tidak dilakukan untuk memastikan remaja Malaysia sentiasa bebas dari dadah dan budaya hedonisme.

Tuan-tuan/puan-puan dan murid-murid sekalian,

Analisis Laporan Dadah Januari hingga November 2009 oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan bahawa Pengaruh Kawan (52.05%) merupakan faktor utama yang menyebabkan seseorang itu terjebak dengan gejala ini, diikuti faktor Perasaan Ingin Tahu (14.68%) dan faktor Untuk Keseronokan (15.66%). Oleh itu, saya menyeru semua pihak agar bersama-sama bersatu tenaga dan idea untuk menyusun lebih banyak program yang mampu memberikan impak yang berkesan kepada kumpulan sasaran. Kita juga harus melaksanakan tanggungjawab dan memperkasakan peranan kita dalam menangani masalah penyalahgunaan dadah tanpa mengira siapa kita; sama ada kita sebagai pentadbir dan perancang pendidikan, pentadbir sekolah, guru, pekerja sekolah, ibu bapa, ahli masyarakat atau murid sekolah. Jika kita ingin berada di hadapan dan kekal di situ, maka kita perlu menerajui perubahan, sebaliknya jika kita sentiasa bernostalgia dengan kejayaan-kejayaan masa lampau tanpa gigih mencari kejayaan-kejayaan baru maka kita akan membentuk gejala jumud. Oleh itu, kita perlu membuktikan kerelevanan kita kepada masyarakat dengan memperkasa peranan masing-masing sesuai dengan peredaran zaman.

Sehubungan dengan itu juga, Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah perlu bersikap proaktif serta berfikiran melampaui masa sekarang dengan meletakkan cabaran jangka panjang dalam usaha memastikan negara dan sekolah bebas dadah. Cabaran ini merujuk kepada pembaharuan dan perubahan struktural dalam pencegahan dadah berteraskan model baru yang berteraskan kreativiti dan inovasi dan juga bersifat semasa.

Usaha-usaha sedia ada oleh Kementerian Pelajaran Malaysia yang merangkumi pelbagai program pembangunan sahsiah dan jati diri hendaklah terus dimantapkan. Begitu juga dengan kewujudan Bilik dan Sudut Sumber Pendidikan Pencegahan Dadah di sekolah-sekolah yang merupakan satu inovasi yang cukup kreatif dan memberikan impak yang sangat besar dalam sebaran mesej bahaya dadah kepada murid-murid dan komuniti berasaskan sekolah. Saya berharap program-program sebegini diteruskan di semua peringkat, terutamanya di sekolah-sekolah kerana kajian yang dibuat menunjukkan bahawa sekolah-sekolah yang melaksanakan program pencegahan dadah secara berterusan dapat mengelakkan murid-murid sekolah tersebut daripada mencuba atau melibatkan diri dalam penyalahgunaannya walaupun setelah mereka tamat persekolahan.

Akhir sekali, saya menyeru kepada semua warga pendidikan agar sentiasa berusaha menjadikan sekolah, keluarga dan komuniti bebas daripada dadah kerana institusi inilah yang mampu merealisasikan sekolah bebas dadah seperti yang dihasratkan oleh kerajaan. Berusahalah untuk menjadi modal insan yang bernilai tinggi dengan mengatakan TIDAK KEPADA DADAH KERANA DADAH MEMBUNUH JATI DIRI DAN BUDAYA BANGSA.

Sekian, terima kasih.

Wabillahittaufik Walhidayah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 

 
 


UPSR 2018

24.09.2018 08:00

Translations

Free Software For Education

A Word From The Creator Of Our Favorite Computer Operating System

Q: So, how do you feel about potentially billions of dollars of wealth being created from your creation that you're not necessarily directly cashing out?

A: So? If I hadn't made Linux available, I mean, I wouldn't have gotten a name, (or) money that way either. So I mean, it's a win-win situation. Just the fact that there are a lot of commercial companies, means that there are a lot of Linux people who used to work on Linux (kind of) along the side, and now they get paid for doing what they wanted to do. That helps me in the sense that I wanted them to work on Linux anyway.

- Linus Torvalds

 


 

No To Restricted Boot

This work by Erik Steinmann is licensed under a Creative Commons Attribution 3.0 Unported License.

Creative Commons License

 


 

Vote for open innovations and competitive technologies. Keep Patent Trolls™ out of education!

Pautan

Kerajaan Negeri Perlis

Anuban Satun School, Thailand

Laman Wikipedia SK Sena

MyGovernment

Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia

Open Source Competency Center

Multimedia Development Corporation

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

Kementerian Pendidikan Malaysia

Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Malaysia

Universiti Malaysia Perlis

Universiti Sains Malaysia

Universiti Pendidikan Sultan Idris

Institut Pendidikan Guru Perlis

Jabatan Pendidikan Perlis

Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia

Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perlis

Zoom-A

EDUWEBTV

Groklaw - Digging for Truth

GNUs Not Unix

Linux

The Internet's #1 Education Site for K-8 Kids and Teachers