Bantuan Persekolahan RM100

Guru Kelas 5 Bestari, Pn. Murizah binti Ali menguruskan penyampaian Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada salah seorang waris murid yang hadir.SK SENA, Kangar - Majlis penyampaian Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 peringkat Sekolah Kebangsaan Sena telah diadakan di sini pada 24 Januari 2014 melibatkan semua murid warganegara Malaysia Tahun 1 hingga 6 yang sedang belajar di SK Sena. Bantuan tersebut yang bertujuan untuk meringankan beban persekolahan murid terkandung dalam teras ketiga Belanjawan 2014, iaitu "Mengungguli Modal Insan" yang disampaikan kepada 5.4 juta orang pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Majlis di SK Sena dimulakan dengan agihan bantuan mengikut bilangan murid dalam setiap kelas, sebelum satu sesi taklimat diadakan untuk memastikan semua guru kelas dapat menjalankan tugas penyampaian bantuan dengan lancar. Seterusnya, sesi penyampaian dimulakan tepat jam 11.00 pagi, di mana setiap waris murid yang hadir diminta mengisi borang akuan penerimaan yang disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dalam sesi temubual bersama MEDIASENA, Guru Besar, En. Roslan bin Yatim menegaskan harapan beliau agar bantuan yang telah disampaikan dapat digunakan sepenuhnya untuk faedah langsung kepada aktiviti persekolahan murid.

Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu menjayakan program penyampaian Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 2014 peringkat SK Sena. Liputan program disediakan oleh MEDIASENA (Jurukamera: Rifqie Aiman bin Mohd Salehuddin).