Mesyuarat Pelaksanaan Integrasi Antarabangsa 2012
- Butiran
- Dikemaskini pada Selasa, 09 Julai 2013 13:48
- Diterbitkan pada Sabtu, 25 Februari 2012 15:05
- Pengarang: SK Sena
SATUN, Thailand - Rombongan pentadbir dan guru-guru Sekolah Kebangsaan Sena berada di Anuban Satun School, Thailand pada 23 Februari yang lalu untuk menghadiri mesyuarat pelaksanaan program Integrasi Antarabangsa Melalui ICT 2012 dan pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) antara kedua-dua buah sekolah di bawah program kerjasama ASEAN yang sedang giat dijalankan antara
sekolah-sekolah Malaysia dan Thailand. Rombongan tersebut yang disertai oleh Guru Besar, En. Roslan bin Yatim, Ketua Bitara ICT, Pn. Chik @ Rohana binti Abd Ghani, Ahli Jawatankuasa Program Antarabangsa, Pn. Norhafiza binti Jamil dan Pembantu Teknikal S.E.N.A CyQUEST telah disambut oleh Pegawai Hubungan Luar, Pejabat Pelajaran Wilayah Satun, En. Romlee Sumalee bersama Pengarah dan guru-guru Anuban Satun School. Mesyuarat yang bermula pada jam 9.00 pagi waktu tempatan itu membincangkan tentang aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan sepanjang program yang dijangka berlangsung pada 16 - 18 Mac kelak.
Antara aktiviti yang dijadualkan ialah majlis suaikenal antara murid-murid SK Sena yang terlibat dengan rakan-rakan dari Anuban Satun School serta ahli-ahli keluarga mereka. Selain itu, satu sesi perkongsian ilmu dan pertandingan ICT menggunakan perisian Scratch untuk penghasilan animasi ringkas akan disampaikan oleh murid-murid SK Sena kepada rakan-rakan mereka untuk membentuk proses interaksi aktif dan produktif dalam kalangan murid. Selesai mesyuarat, rombongan SK Sena telah dibawa melawat sekitar kawasan Anuban Satun School, khususnya Taman ASEAN yang merupakan inisiatif kerajaan Thailand untuk mewujudkan hubungan langsung dalam bidang pendidikan antara sekolah-sekolah Thailand dengan sekolah-sekolah di rantau Asia Tenggara.
SK Sena mengucapkan terima kasih kepada Anuban Satun School atas kesudian menjemput pihak sekolah untuk menghadiri mesyuarat tersebut, dan menjayakan program Integrasi Antarabangsa yang telah dirancang. Semoga hubungan yang terjalin antara guru, murid dan keseluruhan warga kedua-dua buah sekolah dapat dikekalkan, dan program-program kerjasama seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa. Terima kasih juga diucapkan kepada Jabatan Pelajaran Perlis dan Pejabat Pelajaran Wilayah Satun yang telah memberikan sokongan dan bantuan dalam melaksanakan program berkenaan.