Perkhemahan Badan Beruniform 2014
- Butiran
- Dikemaskini pada Khamis, 06 November 2014 09:34
- Diterbitkan pada Isnin, 26 Julai 2010 10:33
- Pengarang: SK Sena
SK Sena, Kangar - Unit Kokurikulum Sekolah Kebangsaan Sena telah menganjurkan satu perkhemahan badan beruniform di Sekolah Kebangsaan Sena pada 31 Oktober hingga 2 November yang lalu. Perkhemahan tersebut telah disertai oleh murid-murid Tahap 2 seramai hampir 135 orang yang mewakili badan beruniform masing-masing yang terdiri daripada Pengakap, Pandu Puteri Tunas, Persatuan Bulan Sabit Merah, Tunas Kadet Remaja Sekolah dan Puteri Islam.
Perkhemahan tersebut memaparkan beberapa aktiviti yang dijalankan untuk membina jatidiri dan disiplin, serta menimbulkan kesedaran dalam diri peserta. Aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan ialah latihan kawad kaki, beriadah, nightwalk, blindtrail, ikhtiar hidup, bantu mula, latihan ikatan, sesi motivasi dan persembahan kebudayaan. Semua acara tersebut telah dijalankan oleh para fasilitator yang dijemput dari IPG Perlis beserta dengan guru - guru.
Sekolah Kebangsaan Sena mengucapkan ribuan terima kasih kepada para guru dan semua fasilitator IPG Perlis yang hadir menghulurkan bantuan, khususnya dari segi pengawasan program dan penyediaan makanan sepanjang perkhemahan. Sekalung penghargaan juga kepada para fasilitator IPG Perlis yang telah mencurahkan idea, masa dan tenaga sepanjang perkhemahan berlangsung untuk memastikan agar pengisian program yang diterima oleh para peserta berjalan dengan penuh bermakna. Semoga kerjasama dan semangat muhibbah yang ditunjukkan semasa perkhemahan kali ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa.






