Hari Kokurikulum SK Sena 2011
- Butiran
- Dikemaskini pada Selasa, 09 Julai 2013 13:39
- Diterbitkan pada Sabtu, 29 Oktober 2011 13:49
- Pengarang: SK Sena
SK SENA, Kangar - Hari Kokurikulum SK Sena telah diadakan pada 22 Oktober 2011 melibatkan seluruh warga SK Sena dan masyarakat sekitar. Program yang dianjurkan oleh Unit Kokurikulum dan PIBG SK Sena itu memaparkan pelbagai acara, antaranya gerai jualan unit beruniform dan kelab/persatuan, pertunjukan silap mata, pertandingan mewarna, pertandingan memasak, pertandingan minum susu Dutch Lady, pertandingan makan megi pertandingan bercerita Bahasa Inggeris serta ceramah-ceramah kesihatan dan pemakanan.
Selain itu, terdapat juga gerai Jabatan Kesihatan yang menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma untuk semua yang hadir pada hari tersebut.
Hari Kokurikulum tahun ini turut dimeriahkan dengan kehadiran pelbagai agensi awam dan swasta yang mempamerkan produk dan perkhidmatan masing-masing. Terdapat gerai pameran oleh pihak Bomba, pertunjukan ular oleh Jabatan Pertahanan Awam, pameran aktiviti ketenteraan oleh Renjer, pameran produk-produk Celcom dan MBSB, pameran Agensi Antidadah Kebangsaan serta pelbagai aktiviti yang ditaja dan dijalankan oleh Dutch Lady dan Petronas. Pihak penganjur turut menerima sumbangan hamper daripada YAB Dato' Seri Dr. Md Isa bin Sabu, Menteri Besar Perlis dan YB Dato' Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad sebagai hadiah untuk cabutan bertuah.
Majlis perasmian penutup menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan-pertandingan yang diadakan sepanjang berlangsungnya program pada hari tersebut. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Guru Besar SK Sena, En. Roslan bin Yatim dan Yang Dipertua serta wakil-wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Sena. Sekolah Kebangsaan Sena mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan dan membantu menjayakan Hari Kokurikulum 2011, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.