Kejohanan Balapan dan Padang 2014
- Butiran
- Dikemaskini pada Selasa, 28 Oktober 2014 13:17
- Diterbitkan pada Isnin, 27 Oktober 2014 10:51
- Pengarang: Administrator
SK SENA, Kangar - Kejohanan Balapan dan Padang Sekolah Kebangsaan Sena 2014 telah berlangsung dengan penuh kemeriahan selama tiga hari mulai 15 Oktober yang lalu. Kejohanan tersebut menyaksikan pelbagai acara dipertandingkan seperti acara-acara balapan 100m, 200m dan lari berganti-ganti 4 x 100m, 4 x 200m serta acara-acara padang, antaranya lompat tinggi, lompat jauh dan lontar peluru. Antara kelainan yang ditampilkan dalam format pertandingan tahun ini, selain melibatkan semua murid dari Prasekolah hingga Tahun 6 ialah pelaksanaan pertandingan yang menumpukan kepada persaingan mengikut aliran (Tahun 1, Tahun 2, Tahun 3 dan seterusnya), berbanding mengikut tahap (Tahap 1 dan Tahap 2) seperti yang diamalkan sebelum ini. Selain membolehkan lebih ramai murid mengambil bahagian, kaedah pelaksanaan tersebut dilihat telah dapat meningkatkan tahap persaingan yang sihat sesama murid, selain menonjolkan bakat-bakat baru dalam acara-acara balapan dan padang di SK Sena.
Turut memeriahkan kejohanan ialah para ibu bapa yang turun memberikan sokongan kepada anak masing-masing. Sokongan yang telah ditunjukkan oleh para ibu bapa, guru-guru dan murid-murid kepada rumah-rumah sukan yang bertanding berjaya membangkitkan semangat para peserta yang mewakili setiap rumah sukan berkenaan. Begitu juga dengan usaha para guru dan murid yang bertindak sebagai ahli-ahli jawatankuasa dan pegawai pertandingan yang telah menunjukkan tahap kecekapan dan profesionalisme yang tinggi dalam menjayakan kejohanan berkenaan. Tidak ketinggalan ahli-ahli jawatankuasa setiap rumah sukan yang telah menunjukkan kesungguhan yang jitu dalam menyediakan maskot yang bertema watak kartun dan pasukan perbarisan bagi rumah sukan masing-masing.
Johan Rumah Sukan untuk tahun 2014 ialah Rumah Mutiara diikuti dengan Rumah Zamrud, Rumah Berlian, Rumah Nilam, Rumah Delima dan Rumah Intan. Johan untuk Maskot dan Perbarisan pula ialah Rumah Zamrud yang membawa watak Ninja Turtle. Olahragawan untuk tahun 2014 ialah Muhd Fariz Zikri Bin Shukri dari rumah Mutiara manakala Olahragawati ialah adik Hidayatul Zulaikha Bt Mohd Azrul Hisham dari Rumah Zamrud.
Upacara perasmian penutup yang berlangsung pada hari ketiga kejohanan telah disempurnakan oleh Yang Berusaha, En. Mustapha Bin Ibrahim, Mantan Pengarah MSN Perlis. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah ahli-ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Sena, serta Guru Besar dan pihak pentadbiran Sekolah Kebangsaan Sena. Upacara perasmian penutup telah dimulakan dengan perbarisan kontinjen setiap rumah sukan yang mengambil bahagian, diikuti dengan bacaan ikrar kejohanan oleh wakil murid, Muhd Adam Bin Zaini, gimik pelancaran kejohanan 2014, ucapan alu-aluan oleh Guru Besar SK Sena, En. Roslan bin Yatim dan ucapan perasmian penutup oleh En. Mustapha Bin Ibrahim.
Sekolah Kebangsaan Sena mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat menjayakan Kejohanan Balapan dan Padang SK Sena 2014. Tahniah kepada semua penerima hadiah dan anugerah kejohanan, dan teruskan semangat dan kemeriahan yang telah ditunjukkan pada masa hadapan.





