Penyampaian Kit UPSR 2012
- Butiran
- Dikemaskini pada Selasa, 09 Julai 2013 13:31
- Diterbitkan pada Selasa, 11 September 2012 07:03
- Pengarang: SK Sena
KANGAR, Perlis - Semua murid Tahun 6 dalam sekolah-sekolah kawasan parlimen Kangar, Perlis menerima sumbangan berupa kit peperiksaan untuk UPSR 2012 dalam satu majlis yang telah diadakan pada 7 September 2012 bertempat di beberapa buah sekolah yang mewakili kawasan masing-masing. Kit tersebut yang telah disumbangkan oleh Ahli Parlimen Kangar, YB Dato' Seri Mohd Radzi
bin Tan Sri Sheikh Ahmad mencakupi peralatan-peralatan untuk menghadapi peperiksaan seperti pensil, pemadam dan pembaris. Seramai 1796 orang murid daripada 27 buah sekolah terlibat dalam penyampaian tersebut.
Majlis bermula seawal jam 9.00 pagi di SRK Seri Indera, di mana Dato' Seri Mohd Radzi telah menyampaikan ucapan kepada calon-calon yang akan menduduki peperiksaan UPSR tahun ini. Dalam ucapannya, beliau menegaskan tentang betapa pentingnya para pelajar mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan sebagai memikul tanggungjawab terhadap guru-guru dan ibu bapa yang telah mengorbankan masa dan tenaga untuk mendidik anak-anak dan murid-murid masing-masing. Beliau turut mengingatkan para pelajar supaya menjaga keselamatan dan kesihatan diri sepanjang tempoh peperiksaan, dan tidak membuang masa yang masih ada dengan sia-sia.
Dari SRK Seri Indera, rombongan Dato' Seri Mohd Radzi bergerak ke SK Sena untuk majlis penyampaian seterusnya, di mana beliau telah disambut oleh Guru Besar, Penolong-Penolong Kanan, guru-guru dan murid-murid Tahun 6. Sekolah-sekolah lain yang turut dilawati oleh beliau sempena majlis berkenaan ialah SJK(C) Khoon Aik, Sekolah Rendah Islam I, SK Putra, SK Kayang dan SK Kuala Perlis.
Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada YB Dato' Seri Mohd Radzi atas sumbangan yang telah diberikan kepada murid-murid Tahun 6 2012, dan mengharapkan agar sumbangan tersebut menjadi pembakar semangat kepada murid-murid dalam menghadapi peperiksaan UPSR yang akan berlangsung pada 11 - 13 September 2012. Liputan majlis disediakan oleh MEDIASENA. Tontoni video liputan program dalam Galeri Video SK Sena.