Bengkel Frog VLE
- Butiran
- Dikemaskini pada Rabu, 30 Oktober 2013 13:45
- Diterbitkan pada Rabu, 30 Oktober 2013 13:29
- Pengarang: SK Sena
SK SENA, Kangar - Unit ICT Sekolah Kebangsaan Sena telah menganjurkan bengkel latihan penggunaan sistem Persekitaran Pembelajaran Maya (Virtual Learning Environment, VLE) Frog melibatkan seramai 60 orang guru di Makmal Komputer SK Sena pada 23, 24 dan 25 Oktober 2013 yang lalu. Bengkel tersebut yang bertujuan untuk melatih guru-guru SK Sena menghasilkan laman web Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) diterajui oleh Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Perlis, dan disampaikan sendiri oleh Guru Penyelaras ICT SK Sena, Pn. Nur Ezzawati binti Md Daud di peringkat sekolah. Menurut beliau, Frog VLE dapat membantu para guru berinteraksi dengan murid secara lebih aktif jika digunakan sepenuhnya.
Frog VLE merupakan sistem pembelajaran kendiri berasaskan Internet yang merupakan sebahagian daripada inisiatif 1BestariNet Kementerian Pendidikan Malaysia. Sistem tersebut direka untuk menyerupai kaedah pembelajaran dunia sebenar dengan mengintegrasikan konsep pendidikan konvensional dan kaedah pembelajaran maya. Melalui Frog VLE, para guru boleh membangunkan laman web yang menyediakan bahan-bahan PdP untuk kegunaan murid, membina kuiz dan ujian, memberi tugasan serta menyemak hasil kerja pelajar. Selain itu, sistem berkenaan turut menyediakan fungsi multimedia yang membenarkan para guru memuatnaik gambar, video dan laman web luaran sebagai sumber rujukan.
Pelaksanaan operasi Frog VLE yang berasaskan perkomputeran awan (cloud computing) membolehkan sistem tersebut diakses dari mana-mana sahaja pada bila-bila masa. Oleh itu, para guru dan murid tidak terikat dengan jadual persekolahan untuk menggunakannya. Pada masa yang sama, sistem berkenaan mengandungi ciri-ciri keselamatan menerusi penggunaan alamat emel dan katalaluan untuk mengawal akses ke setiap laman web yang dibangunkan.
Unit ICT Sekolah Kebangsaan Sena mengucapkan terima kasih atas kerjasama para guru dalam mengikuti bengkel latihan yang telah dijalankan, serta menyampaikan penghargaan kepada BTPN Perlis atas bimbingan dalam melaksanakan penggunaan Frog VLE.