Perjumpaan Waris Tahun 6

Murid-murid Tahun 6 SK Sena membaca ikrar akujanji persekolahan sambil disaksikan oleh ibu bapa dan guru-guru.SK SENA, Kangar - Sekolah Kebangsaan Sena telah mengadakan Majlis Perjumpaan Waris Murid Tahun 6 bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing pada 22 Januari yang lalu. Majlis tersebut dimulakan dengan sesi ucapan alu-aluan untuk semua yang hadir di Kantin SK Sena yang telah disampaikan oleh Guru Besar, En. Roslan bin Yatim. Dalam ucapannya, beliau menerangkan bahawa antara objektif utama majlis tersebut diadakan ialah untuk berkongsi maklumat tentang program-program persekolahan yang disediakan untuk para pelajar, khususnya dalam bidang akademik sebagai persediaan ke arah menduduki peperiksaan UPSR.

Majlis diteruskan dengan sesi perbincangan antara para guru dan ibu bapa di kelas anak masing-masing, di mana para ibu bapa dan penjaga murid yang hadir telah berpeluang untuk membangkitkan sebarang kemusykilan tentang perancangan dan prestasi persekolahan anak mereka. Pada masa yang sama, semua murid pula mengikuti sesi motivasi yang telah disampaikan oleh Kaunselor SK Sena, En. Hairul Nizam bin Tahak. Pada akhir program, murid-murid turut bergerak ke kelas masing-masing untuk membaca ikrar dan menandatangani akujanji pelajar.

Liputan program disediakan oleh MEDIASENA (Jurukamera: Rifqie Aiman bin Mohd Salehuddin dan Muhammad Qhalif Azariq bin Sahzan)