Pengukuhan Bahasa Inggeris Melalui Teater
- Butiran
- Dikemaskini pada Isnin, 29 September 2014 10:58
- Diterbitkan pada Isnin, 29 September 2014 10:29
- Pengarang: SK Sena
SK SENA, Kangar - Program pengukuhan Bahasa Inggeris melalui teknik latihan dan penyampaian teater telah dijalankan di Sekolah Kebangsaan Sena pada 15 - 17 September 2014 melibatkan sehingga 30 orang murid Tahun 4 dan 5. Bengkel tersebut yang menumpukan kepada meningkatkan minat murid untuk mempelajari dan mengamalkan Bahasa Inggeris melalui kaedah-kaedah dan menyeronokkan dikendalikan oleh Cik Normah Nordin (AMN), seorang penggiat seni tanah air yang pernah berkhidmat sebagai pengarah, pelukis dan jurulatih lakonan kepada pelakon-pelakon ternama di Malaysia.
Pelaksanaan program berkenaan di SK Sena merupakan kelolaan bersama Panitia Bahasa Inggeris serta Unit Bimbingan & Kaunseling, dan bertujuan untuk membantu murid-murid yang terlibat membina keyakinan diri serta kebolehan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan berani. Pada akhir sesi latihan selama tiga hari itu, semua peserta dikehendaki mengadakan persembahan di hadapan para hadirin berdasarkan bahan-bahan yang telah disampaikan sepanjang tempoh tersebut.
Ketika bercakap kepada MEDIASENA, Cik Normah menyatakan bahawa para peserta menunjukkan minat yang mendalam sepanjang mereka mengikuti latihan yang diadakan, dan berjaya menimbulkan semangat dan keyakinan untuk mempersembahkan bakat masing-masing menggunakan Bahasa Inggeris. Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Cik Normah atas sumbangan masa, tenaga dan kepakaran yang telah beliau curahkan kepada guru dan murid SK Sena, dan mengharapkan agar program sedemikian dapat diteruskan untuk manfaat generasi masa hadapan.