Lawatan Penanda Aras SK Seri Ampang Muda

SK SENA, Kangar - Sekolah Kebangsaan Sena sekali lagi menerima lawatan penanda aras, kali ini dari Sekolah Kebangsaan Seri Ampang Muda, Sik, Kedah. Lawatan tersebut diadakan untuk mengumpul maklumat tentang kecemerlangan keseluruhan di SK Sena, serta program-program akademik, kokurikulum dan kebitaraan yang dijalankan di sini. Seperti biasa, lawatan tersebut dimulakan dengan sesi taklimat dan soal-jawab yang disampaikan oleh Guru Besar SK Sena, En. Roslan bin Yatim. Antara persoalan yang ditimbulkan oleh tetamu yang hadir ialah tentang penyusunan murid mengikut kelas masing-masing dalam setiap aliran, serta peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Sena dalam membantu menjana kecemerlangan murid.

Seterusnya, para hadirin telah dibawa melawat ke sekitar kawasan SK Sena. Kali ini, SK Sena difahamkan bahawa kebanyakan guru yang hadir telahpun ditugaskan untuk melihat bilik-bilik khas dan kawasan yang menjadi tanggungjawab masing-masing di SK Seri Ampang Muda. Dengan demikian, setiap peserta lawatan dapat berjumpa dan bersoal-jawab dengan guru-guru sejawatan di SK Sena untuk bertukar-tukar fikiran tentang kaedah pelaksanaan yang digunakan di kedua-dua buah sekolah. Selain itu, CyKidzCRAZE juga telah sempat menemuramah Penolong Kanan Pentadbiran dan Yang Dipertua PIBG SK Seri Ampang Muda.

Liputan lawatan tersebut telah disediakan oleh CyKidzCRAZE. Nantikan video temubual CyKidzCRAZE bersama SK Seri Ampang Muda di Galeri Video SK Sena.