Kunjungan RTM

SK SENA, Kangar - Radio Televisyen Malaysia (RTM) kelmarin telah mengadakan kunjungan ke Sekolah Kebangsaan Sena untuk menjalankan rakaman bagi rancangan Chiki Boom! musim ke-7 yang akan ditayangkan mulai 12 Mac ini pada setiap hari Sabtu, jam 8.00 pagi di TV2. Rakaman di Sekolah Kebangsaan Sena berfokuskan kepada kumpulan angklung Kru RTM membuat rakaman persembahan pasukan angklungsekolah dan projek NILAM yang baru dilancarkan di peringkat sekolah pada 24 Januari yang lalu.

Kru RTM Kuala Lumpur tiba di SK Sena sekitar jam 9.00 pagi dan satu taklimat kerja telah disampaikan oleh Penerbit Segmen, En. Paranthaman Nadarajan kepada Guru Besar, En. Roslan bin Yatim. Rakaman kemudian dimulakan dengan persembahan oleh kumpulan angklung di Bilik Muzik SK Sena dan ulasan oleh Ketua Pasukan Angklung 2011, Syafiqah Amira Fariha binti Shuib dari Tahun 6 Cenderawasih. Satu sesi temubual melibatkan Guru Besar, Guru Muzik serta Guru Perpustakaan dan Media turut dijalankan. Selepas itu, rakaman diteruskan dengan liputan calon Tokoh NILAM peringkat negeri Perlis, Nur Irdina binti Aziz dan Nurul Nur Alya binti Zainordin, juga dari kelas 6 Cenderawasih. Pada sebelah petangnya, kru RTM melawat rumah Shafiqah Amira untuk membuat liputan tentang kehidupan seharian Ketua Pasukan Angklung SK Sena.

Sekolah Kebangsaan Sena mengucapkan terima kasih dan menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Radio Televisyen Malaysia kerana telah sudi mengadakan rakaman Chiki Boom! di SK Sena. CyKidzCRAZE telah sempat menemubual Penerbit Segmen dan kru RTM yang bertugas semasa rakaman tersebut. Nantikan video liputan dan temubual di Galeri Video SK Sena.