TV3 Di SK Sena
- Butiran
- Dikemaskini pada Selasa, 09 Julai 2013 13:37
- Diterbitkan pada Selasa, 12 April 2011 19:05
- Pengarang: SK Sena
SK SENA, Kangar - Kru rakaman TV3 berada di Sekolah Kebangsaan Sena pada 11 April 2011 untuk satu sesi temubual dan rakaman dengan johan pertandingan RHB-NST Spell-It-Right Challenge peringkat negeri Perlis 2011, Nadine Qathira binti Sahzan, murid Tahun 5 Elit. Kru tersebut yang terdiri daripada seorang Penolong Penerbit dan dua orang kru teknikal tiba di SK Sena sekitar jam 11.00 pagi dan memulakan sesi penggambaran di kelas berkenaan, merakamkan aktiviti pembelajaran dan pengajaran sesama guru dan rakan-rakan sekelas.
Rakaman kemudian diteruskan dengan penggambaran aktiviti kokurikulum dan koakademik yang diceburi oleh Nadine Qathira di SK Sena. Antara aktiviti yang terlibat ialah persembahan pasukan angklung SK Sena, di mana Nadine Qathira merupakan salah seorang anggota senior dalam pasukan berkenaan, dan operasi Studio CyKidzCRAZE yang memaparkan Nadine sebagai salah seorang wartawan terlatih di SK Sena.
Selain rakaman aktiviti, kru TV3 yang hadir pada hari tersebut turut berkesempatan merakamkan aksi-aksi guru-guru dan rakan-rakan Nadine yang mengucapkan tahniah kepada beliau, serta selamat maju jaya dalam pertandingan peringkat kebangsaan yang akan berlangsung pada bulan Julai kelak. Sesi penggambaran di SK Sena tamat sekitar jam 1.00 petang sebelum kru rakaman tersebut bertolak ke rumah Nadine Qathira untuk sesi seterusnya di sana.
Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada TV3 kerana sudi menjalankan sesi rakaman di SK Sena. Liputan rakaman disediakan oleh CyKidzCRAZE. Nantikan video liputan dan temubual Nadine Qathira bersama pihak TV3 di Galeri Video SK Sena.