Penyelidikan Video Dalam Kelas
- Butiran
- Dikemaskini pada Selasa, 09 Julai 2013 13:37
- Diterbitkan pada Rabu, 04 Mei 2011 09:48
- Pengarang: SK Sena
Sekolah Kebangsaan Sena menerima kunjungan awal daripada dua orang penyelidik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 22 April 2011 yang lalu. En. Wan Maharuddin bin Wan Sulaiman dan Dr. Che Mahzan bin Ahmad berada di SK Sena untuk menjalankan kajian bertemakan “Video dalam Kelas” melibatkan kru multimedia CyKidzCRAZE yang merupakan salah satu komponen teknologi di bawah bidang kebitaraan ICT di SK Sena. Kajian peringkat Doktor Falsafah
(PhD) itu dijangka berjalan selama sekurang-kurangnya tiga tahun, di mana beberapa peringkat penelitian dan pemerhatian akan dilakukan terhadap impak tugasan multimedia dan penyiaran ke atas perkembangan minda kru yang terlibat.
Dalam sesi temubual yang dijalankan oleh CyKidzCRAZE bersama kedua-dua penyelidik berkenaan, Dr. Che Mahzan menyatakan bahawa kajian Instructional Studies yang melibatkan CyKidzCRAZE ini dilakukan untuk melihat sejauh mana proses pemikiran kreatif terlaksana dalam menjalankan tugasan melibatkan rakaman video dalam pelbagai situasi. Menurut beliau lagi, setiap anggota CyKidzCRAZE akan dibekalkan dengan sebuah buku untuk meluahkan apa sahaja yang bermain di fikiran masing-masing pada setiap masa. Bahan tersebut kemudiannya akan dikumpul semula dan dianalisa.
En. Wan Maharuddin pula menegaskan bahawa antara proses pemikiran yang diambilkira dalam kajian berkenaan ialah bagaimana kru yang bertugas membuat persediaan untuk sesi rakaman, bagaimana produk video akhir diterbitkan, serta bagaimana kru yang bertugas mengurus masa dalam kesibukan mengikuti aktiviti-aktiviti sekolah yang lain. Selain itu, kajian tersebut juga akan melihat bagaimana setiap anggota yang memegang peranan berbeza seperti penerbit, jurukamera, juruteknik audio dan sebagainya bekerjasama antara satu sama lain untuk menghasilkan produk yang terbaik.
Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada En. Wan Maharuddin bin Wan Sulaiman dan Dr. Che Mahzan bin Ahmad kerana sudi memilih CyKidzCRAZE di SK Sena sebagai subjek kajian mereka, dan mengharapkan agar hasil kajian tersebut dapat membuahkan manfaat kepada semua pihak yang terlibat.