Program Jaringan Kecemerlangan
- Butiran
- Dikemaskini pada Selasa, 25 Februari 2014 10:33
- Diterbitkan pada Selasa, 25 Februari 2014 10:31
- Pengarang: SK Sena
SK SENA, Kangar - Sekolah Kebangsaan Sena menerima lawatan daripada Sekolah Kebangsaan Sultan Ahmad Tajuddin, Jitra, Kedah pada 21 Februari 2014 sempena Program Jaringan Kecemerlangan melibatkan guru-guru dan murid-murid daripada kedua-dua buah sekolah. Program tersebut bertujuan untuk mengeratkan hubungan persahabatan yang telah lama terjalin antara SK Sena dengan SK Sultan Ahmad Tajuddin melalui pengiktirafan sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan Malaysia dan Sekolah Berprestasi Tinggi.
Program pada hari tersebut dimulakan dengan sambutan rombongan SK Sultan Ahmad Tajuddin di Kantin SK Sena. Rombongan berkenaan yang diketuai oleh Guru Besar, En. K. Thachanamurthy tiba di SK Sena sekitar jam 4.00 petang dan disambut dengan beberapa persembahan yang disediakan oleh pihak SK Sena. Seterusnya, beberapa sesi perlawanan persahabatan bola jaring dan bola sepak telah diadakan di padang SK Sena antara pasukan-pasukan murid dan guru yang menyaksikan pasukan-pasukan murid SK Sultan Ahmad Tajuddin mengatasi pasukan-pasukan SK Sena dalam kedua-dua perlawanan. Perlawanan antara guru pula dimenangi oleh pasukan-pasukan SK Sena. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh mantan Guru Besar SK Sena, Tn. Hj. Hamid bin Hashim dan En. K. Thachanamurthy. Pada masa yang sama, Guru Besar kedua-dua buah sekolah turut menandatangani memorandum kerjasama untuk merasmikan Program Jaringan Kecemerlangan 2014.
Mengulas mengenai program yang diadakan kepada wartawan MEDIASENA, Guru Besar SK Sena, En. Roslan bin Yatim menyebutkan bahawa program tersebut dapat memberi manfaat kepada kedua-dua buah sekolah dari segi membentuk hubungan rasmi setelah pelbagai program diadakan melibatkan SK Sena dan SK Sultan Ahmad Tajuddin.
Liputan program disediakan oleh MEDIASENA (Jurukamera: Aiman Hakim Aziz dan Muhammad Ehsan Zubaidi).