Pembangunan Staf di BPSBPSK

BPSBPSK, Cyberjaya - Satu program pembangunan staf bertemakan "Sekolah Kebangsaan Sena Dari Sekolah Kluster Kecemerlangan Ke Sekolah Berprestasi Tinggi" telah diadakan di Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan (BPSBPSK), Guru Besar SK Sena menyampaikan cenderamata kepada Pengarah BPSBPSKKementerian Pelajaran Malaysia, Cyberjaya pada 9 Disember 2010. Program tersebut telah dimulakan dengan ucapan aluan dan pembentangan oleh Timbalan Pengarah Kluster, Pn. Jamelah binti Mansor. Dalam pembentangannya, beliau memperkenalkan organisasi BPSBPSK kepada guru-guru SK Sena yang hadir, dan menekankan kepentingan perlunya pentadbir dan guru sekolah yang cemerlang dalam pelbagai aspek untuk melahirkan sekolah yang cemerlang.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan ringkas daripada Pengarah BPSBPSK, Pn. Ashah binti Samah yang berkesempatan untuk singgah sebentar pada program tersebut dalam kesibukan beliau menghadiri pelbagai mesyuarat dan program pada hari yang sama. Pembentangan seterusnya telah disampaikan oleh Ketua Unit Kebitaraan Akademik BPSBPSK, Pn. Salbiah binti Baba yang bertajuk "Pembangunan Sistem Penilaian Soft Skills SBP/SK/SBT". Dalam pembentangan tersebut, Pn. Salbiah telah menerangkan tentang sistem penilaian yang akan digunakan untuk menilai kemenjadian murid berdasarkan kemahiran-kemahiran generik, dan langkah-langkah yang perlu diamalkan untuk mencapai tahap kemenjadian yang disasarkan.

Sekolah Kebangsaan Sena mengucapkan terima kasih kepada Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan atas kesudian menerima lawatan daripada guru-guru SK Sena sempena program tersebut. Segala  penerangan yang telah disampaikan akan dijadikan panduan untuk meningkatkan lagi kecemerlangan sekolah dalam usaha mencapai visi dan misi yang telah ditetapkan.