Merancang Keberkesanan Sekolah Kluster
- Butiran
- Dikemaskini pada Selasa, 09 Julai 2013 13:30
- Diterbitkan pada Isnin, 18 April 2011 07:29
- Pengarang: SK Sena
HOTEL LANGKASUKA, Langkawi - Sekolah Kebangsaan Sena telah menganjurkan program Taklimat Keberkesanan Sekolah Kluster Kecemerlangan dan Bengkel Perancangan Strategik Program Kebitaraan 2011 - 2013 di sini pada 15 - 17 April melibatkan 13 orang guru yang terdiri daripada pentadbir sekolah dan ahli-ahli jawatankuasa bidang-bidang kebitaraan di SK Sena. Program tersebut diadakan untuk melihat semula aktiviti-aktiviti kebitaraan yang telah dijalankan, setakat mana setiap aktiviti berkenaan memberikan impak kepada guru dan murid, serta merancang aktiviti-aktiviti seterusnya untuk meningkatkan lagi pencapaian serta keterlibatan guru dan murid dalam pada masa hadapan.
Mengulas tentang program tersebut, Penyelaras Sekolah Kluster Kecemerlangan SK Sena, En. Saifur Ridzwan bin Mustafa menyebutkan bahawa taklimat dan bengkel yang dianjurkan kali ini memberi peluang kepada ahli-ahli jawatankuasa setiap bidang kebitaraan di SK Sena untuk duduk semeja dan membincangkan penambahbaikan dan perubahan yang diperlukan dalam setiap bidang berkenaan. Ini penting untuk melonjakkan lagi kecemerlangan sekolah dengan menggunakan aktiviti-aktiviti kebitaraan yang telah dijalankan sebelum ini sebagai asas. Terdapat tiga bidang kebitaraan di SK Sena, iaitu ICT, Matematik dan Lompat Tali. Oleh itu, adalah amat penting bagi setiap bidang tersebut untuk terus menyumbang kepada kecemerlangan sekolah dari semasa ke semasa.
Menurut Setiausaha Sekolah Kluster Kecemerlangan pula, iaitu En. Abdul Kader bin Ali, beliau amat berpuas hati dengan hasil program yang dijalankan. Setiap bidang kebitaraan telah berpeluang untuk menghasilkan perancangan strategik bagi tempoh tiga tahun yang akan datang, serta mendapat maklumbalas tentang perancangan masing-masing daripada semua yang hadir, agar aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan dapat memberi impak yang berkesan kepada guru dan murid di SK Sena.
Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan taklimat dan bengkel kebitaraan 2011 tersebut.