Majlis Anugerah Cemerlang 2012
- Butiran
- Dikemaskini pada Sabtu, 29 November 2014 00:55
- Diterbitkan pada Rabu, 14 November 2012 13:13
- Pengarang: SK Sena
DEWAN KAPITOL UniMAP, Kangar - Sekolah Kebangsaan Sena telah menganjurkan Majlis Anugerah Cemerlang tahun 2012 melibatkan sekitar 250 orang guru, murid dan ibu bapa di sini pada 10 November yang lalu. Majlis tersebut yang diadakan untuk memberi pengiktirafan kepada murid-murid SK Sena yang berjaya menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang menampilkan sijil dan hadiah untuk kategori-kategori seperti pencapaian cemerlang dalam matapelajaran dan kedudukan dalam kelas, Anugerah
Budi Pekerti Mulia, Tokoh Murid dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah, serta Anugerah Kecemerlangan Kebitaraan Sekolah Kluster Kecemerlangan. Pada masa yang sama, beberapa anugerah khas turut disampaikan, iaitu Anugerah Kecemerlangan UPKK peringkat negeri Perlis dan hadiah penyertaan tertinggi Pertandingan Buku Skrap Jawi anjuran Utusan Melayu Mingguan. Selain itu, beberapa persembahan turut disampaikan oleh murid-murid SK Sena yang telah memeriahkan lagi majlis, antaranya persembahan angklung oleh Kelab Seni dan Kebudayaan, persembahan bercerita oleh adik Nur Hidayatul Akma, pemenang pertandingan peringkat kebangsaan, serta persembahan Pertunjukan Fesyen oleh murid-murid prasekolah.
Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Guru Besar SK Sena, En. Roslan bin Yatim, sementara ucapan perasmian majlis pula telah disempurnakan oleh En. Nuzrin bin Nuiman, Timbalan Pengarah Pelajaran Perlis yang mewakili Pengarah Pelajaran Perlis. Dalam ucapannya, beliau mengulas tentang pencapaian-pencapaian yang telah diraih oleh SK Sena sepanjang tempoh pengiktirafan sebagai salah sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan di Malaysia, serta menekankan tentang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025 yang telah dilancarkan baru-baru ini. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Perhubungan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Negeri Perlis, En. Ismail Hashim, Pengarang Utusan Melayu Mingguan, En. Mohd Kamil Yusoff dan mantan-mantan Guru Besar SK Sena.
Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat menjayakan Majlis Anugerah Cemerlang 2012, khususnya kepada pihak Angkasa negeri Perlis dan Utusan Melayu Mingguan atas kesudian untuk hadir dan menyampaikan hadiah kepada SK Sena, serta kepada pihak Universiti Malaysia Perlis atas kerjasama dan sumbangan yang diberikan dalam melaksanakan majlis berkenaan. Liputan program disediakan oleh MEDIASENA.