Anugerah Kepimpinan TMK 2013
- Butiran
- Dikemaskini pada Selasa, 09 Julai 2013 13:30
- Diterbitkan pada Khamis, 16 Mei 2013 08:11
- Pengarang: SK Sena
SEREMBAN, Negeri Sembilan - Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sena, En. Roslan bin Yatim menerima penghormatan apabila terpilih sebagai Johan Anugerah Kepimpinan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) sempena Sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan yang diadakan di sini pada 14 - 16 Mei 2013. Beliau yang hadir bersama En. Saifur Ridzwan bin Mustafa, Penyelaras Sekolah Kluster Kecemerlangan SK Sena dan Pembantu Teknikal S.E.N.A CyQUEST menerima anugerah tersebut dalam Majlis Makan Malam Negeri sempena sambutan berkenaan yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Seremban semalam.
Majlis yang telah dirasmikan oleh YAB Dato' Seri Utama Hj. Mohamad bin Hj. Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan itu menampilkan beberapa anugerah seperti Anugerah Guru Inovatif Individu, Anugerah Guru Inovatif Berkumpulan dan Anugerah Khas Guru Lahad Datu untuk menghargai jasa guru-guru yang telah berkhidmat dengan cemerlang sepanjang perkhidmatan masing-masing. Turut hadir dalam majlis yang diadakan ialah YBhg Tan Sri Abd Ghafar bin Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM), YBhg Dato' Dr. Rosli bin Mohamed, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pelajaran Malaysia, YBhg Pn. Hjh. Kalsom binti Khalid, Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan serta pegawai-pegawai pendidikan dari seluruh negara.
Pegawai-pegawai Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia hadir di SK Sena pada bulan Mac yang lalu untuk menjalankan penilaian ke atas En. Roslan sebagai salah seorang calon Anugerah Kepimpinan TMK 2013. Mengulas tentang anugerah yang diterima, En. Roslan menyatakan bahawa kejayaan ini merupakan satu pencapaian bukan sahaja kepada diri beliau sendiri, malah turut menjadi penghargaan yang amat tinggi nilainya kepada para warga sekolah yang telah bertungkus-lumus untuk bersama-sama menggerakkan sekolah ke arah kecemerlangan, khususnya dalam bidang ICT. Beliau juga menyebutkan bahawa penganugerahan kali ini sebenarnya merupakan kejayaan berganda apabila didahului dengan pencapaian Pingat Emas berturut-turut dalam dua program inovasi dan rekacipta di peringkat antarabangsa, iaitu International Engineering Invention & Innovation Exhibition (i-ENVEX) dan International Exhibition for Young Inventors (IEYI) baru-baru ini. Malah, pasukan SK Sena kini dalam proses untuk berangkat ke Macau bagi mempertandingkan produk inovasi yang dibangunkan oleh murid-murid sekolah di bawah bimbingan dan khidmat nasihat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Ujar beliau lagi, kejayaan-kejayaan sedemikian menunjukkan bahawa seluruh warga sekolah sebenarnya telah berusaha gigih untuk mengharumkan nama sekolah, negeri dan negara sehingga ke peringkat antarabangsa.
Sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan tahun ini turut diserikan dengan beberapa acara sepanjang tempoh sambutan seperti pameran pendidikan, senamrobik, sesi Sepetang Bersama KPPM dan KSU, serta majlis anugerah Tokoh Guru yang akan diadakan pada malam ini. SK Sena mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam meyumbangkan kejayaan Anugerah Kepimpinan TMK tersebut, dan mengharapkan agar pencapaian berkenaan menjadi inspirasi kepada seluruh warga sekolah untuk terus berusaha meraih kecemerlangan pada masa hadapan.