Mesyuarat Jalinan SKK - UniMAP
- Butiran
- Dikemaskini pada Khamis, 09 Januari 2014 10:30
- Diterbitkan pada Khamis, 09 Januari 2014 10:26
- Pengarang: SK Sena
KAMPUS ALAM UniMAP, Pauh Putra - Seramai 6 orang guru Sekolah Kebangsaan Sena termasuk Guru Besar, En. Roslan bin Yatim berada di Bilik Mesyuarat Senat, Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Mekatronik di sini pada 7 Januari 2014 untuk menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Program Permuafakatan Jalinan Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Mesyuarat tersebut yang melibatkan SKK Fasa 1 - 7 dari negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang yang mempunyai hubungan jalinan rasmi dengan UniMAP turut melibatkan SMK Dato' Sheikh Ahmad, Perlis, SM Teknik Alor Setar, Kedah, SMKA (P) Kangar, Perlis, SMJK Chung Ling, Pulau Pinang serta SMKA Kedah dan SMK Ayer Hitam, Kedah. Selain Guru Besar, rombongan SK Sena juga disertai oleh Penyelaras Sekolah Kluster Kecemerlangan, semua Ketua Bitara dan Pembantu Teknikal S.E.N.A CyQUEST.
Majlis berkenaan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Majlis, YBhg Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin bin Hussin, Naib Canselor UniMAP. Dalam ucapannya, beliau mengulas tentang kejayaan yang telah diraih oleh SKK bersama UniMAP pada tahun-tahun sebelum ini, dan menegaskan bahawa pelaksanaan kerjasama tersebut bukan sahaja bertujuan untuk merebut pingat dan kemenangan, tetapi yang lebih penting ialah untuk membina sahsiah yang terpuji dan keyakinan diri yang tinggi dalam diri murid sekolah-sekolah yang terlibat. Beliau turut menyatakan hasrat untuk menjadikan UniMAP sebagai sebuah universiti komuniti yang dapat memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat sekitar, khususnya kepada golongan pelajar.
Seterusnya, setiap sekolah yang hadir telah membentangkan pencapaian masing-masing kepada ahli mesyuarat untuk melihat aspek-aspek kerjasama yang boleh dijalankan bersama UniMAP pada tahun 2014. Ketika menyenaraikan pencapaian SK Sena, En. Roslan menyebutkan bahawa selain kejayaan-kejayaan di peringkat antarabangsa yang disebutkan oleh Dr. Kamarudin di awal ucapan beliau, pihak sekolah turut menempa nama dalam kalangan agensi-agensi Sektor Awam di Malaysia apabila terpilih sebagai salah satu daripada 5 finalis Anugerah Inovasi ICT (AIICT) sempena Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam (AISA) anjuran MAMPU tahun lalu. Beliau juga menyampaikan penghargaan kepada UniMAP yang telah banyak memberikan bimbingan, khidmat nasihat serta bantuan kepakaran dan infrastruktur kepada SK Sena sehingga mencapai tahap tersebut. Dalam temubual bersama wartawan MEDIASENA, En. Roslan menyatakan harapan agar jalinan erat yang telah berjalan semenjak SK Sena diiktiraf sebagai SKK pada tahun 2008 dapat diteruskan dengan lebih aktif pada tahun ini. Menurut beliau lagi, pihak sekolah telah menggariskan sebanyak 13 program kerjasama bersama UniMAP untuk 2014.
Mesyuarat kemudiannya diteruskan dengan ucapan pengenalan kepada bidang kerjasama dan kemudahan yang ditawarkan daripada wakil beberapa Pusat Kepakaran yang hadir seperti ENVEX Young Researchers Club (EYReC), PPK Mekatronik, Institut Agroteknik Lestari, Pusat Bahasa Antarabangsa, Institut Matematik Kejuruteraan dan Pusat Kerjasama Industri. Setiap Pusat Kepakaran berkenaan akan bekerjasama dengan sekolah-sekolah yang terlibat berdasarkan bidang kebitaraan masing-masing. Satu tayangan video bertajuk UniMAP: Sedekad Gemilang yang merumuskan pembangunan UniMAP sebagai universiti penyelidikan sepanjang 10 tahun penubuhannya menjadi agenda penutup majlis pada hari tersebut. Mesyuarat berakhir pada jam 1.30 petang dengan jamuan makan tengahari dan satu sesi lawatan ringkas ke galeri pameran UniMAP di kompleks PPK Pembuatan.