Mesyuarat Agung PIBG 2010
- Butiran
- Dikemaskini pada Selasa, 09 Julai 2013 13:38
- Diterbitkan pada Ahad, 28 Mac 2010 11:47
- Pengarang: SK Sena
SK SENA, Kangar - Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Sena telah mengadakan Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-16 pada 27 Mac 2010, bertempat di Kantin SK Sena. Majlis tersebut yang bermula pada jam 8.30 pagi telah dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Yang Dipertua PIBG, En. Ahmad Shukri bin Ali. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua ibu bapa yang hadir walaupun terpaksa mengorbankan hari cuti, dan ini menunjukkan bahawa para ibu bapa prihatin dengan perkembangan sekolah dan anak-anak mereka yang belajar di SK Sena. Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan oleh Guru Besar, En. Roslan bin Yatim yang menerangkan serba-sedikit tentang program-program yang dijalankan, pengukuran pencapaian murid di SK Sena, dan kepentingan ibu-bapa memastikan agar anak masing-masing menghadiri program yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Perasmian Mesyuarat Agung PIBG SK Sena 2010 pula telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pelajaran Perlis, Tn. Hj. Abdul Hadi bin Harun.
Selesai perasmian, semua yang hadir telah dijemput menikmati hidangan yang disediakan oleh pihak pengelola majlis. Majlis kemudiannya disambung dengan sesi Mesyuarat Agung yang dimulakan dengan pembentangan minit mesyuarat yang lalu oleh Setiausaha PIBG, En. Abdul Kader bin Ali. Rekod kewangan pula telah dibentangkan oleh Bendahari PIBG, En. Zubir bin Ghazali sejurus sebelum pembahasan usul-usul yang dibangkitkan oleh ahli-ahli jawatankuasa PIBG dan para ibu-bapa. Selepas pembahasan usul, lantikan jawatankuasa baru PIBG telah dijalankan dan dikendalikan oleh Yang Dipertua PIBG. Semua ahli PIBG yang hadir telah sebulat suara untuk mengekalkan barisan jawatankuasa sedia ada, dan melantik ahli-ahli jawatankuasa yang baru untuk mengisi tempat-tempat yang dikosongkan atas beberapa sebab. Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Kebangsaan Sena Kali Ke-16 kemudiannya ditutup dengan ucapan penggulungan oleh beberapa orang ibu bapa dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sena. Majlis berakhir sekitar tengah hari.
Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Sena mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir, dan mengharapkan komitmen yang terbaik daripada semua pihak dalam menjayakan agenda PIBG dan sekolah untuk tahun 2010. Minit mesyuarat bagi majlis tersebut telah dicatat menggunakan perisian sumber terbuka OpenOffice.org Writer dalam sistem operasi Mandriva GNU/Linux.