Mesyuarat Agung PIBG 2013

Ibu bapa yang hadir berpeluang menyatakan pandangan dan menyuarakan cadangan masing-masing kepada pihak sekolahSK SENA, Kangar - Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Sena telah diadakan hari ini di Kantin sekolah mulai jam 8.30 pagi. Mesyuarat tersebut yang telah dirasmikan oleh YB Dato' Seri Mohd Radzi Tan Sri Sheikh Ahmad, Ahli Parlimen Kangar, Perlis dimulakan dengan pendaftaran ibu bapa yang hadir, serta edaran borang maklumbalas Sarana Ibu Bapa untuk dilengkapkan sebagai salah satu komponen maklumat di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025.

Ketibaan Dato' Seri Mohd Radzi telah disambut oleh pasukan kompang SK Sena, dan satu persembahan angklung turut dijayakan oleh Kelab Seni dan Kebudayaan untuk memeriahkan lagi majlis. Selesai persembahan, acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Dipertua PIBG SK Sena, En. Ahmad Shukri bin Ali, yang diikuti dengan ucapan Guru Besar SK Sena, En. Roslan bin Yatim. Ucapan perasmian majlis telah disempurnakan oleh Dato' Seri Mohd Radzi sejurus selepas itu. Dalam ucapannya, beliau menyebutkan tentang beberapa keistimewaan sekolah yang dapat membantu meningkatkan potensi murid untuk mencapai tahap kejayaan yang paling cemerlang. Beliau turut menggariskan usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk penambahbaikan kepada prasarana sekolah sedia ada.

Mesyuarat yang bermula selepas sesi jamuan ringan menyaksikan pelantikan Jawatankuasa PIBG untuk tahun 2013, pembentangan minit mesyuarat dan penyata kewangan untuk tahun sebelumnya, serta perbincangan usul-usul yang dibangkitkan oleh ibu bapa untuk catatan dan maklumbalas pihak sekolah. Para ibu bapa dan penjaga murid yang hadir telah memberikan respon yang positif dan membina dalam usaha bersama untuk melancarkan perjalanan sesi persekolahan semasa. Antara perkara menarik yang dibangkitkan dalam mesyuarat kali ini ialah pembangunan Pusat Khidmat PIBG SK Sena yang telah dimulakan sejak dua minggu yang lalu. Pusat Khidmat berkenaan akan berfungsi sebagai One Stop Center untuk meningkatkan keberkesanan hubungan antara ibu bapa dan penjaga dengan pihak sekolah.

SK Sena mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat menjayakan Mesyuarat Agung PIBG 2013. Liputan dan siaraya majlis telah disediakan oleh MEDIASENA.