Katalog dan Pengurusan Pusat Sumber Dalam Talian

Pusat Sumber SK Sena dengan kerjasama S.E.N.A CyQUEST: CATER kini sedang dalam proses pengujian sistem Katalog & Pengurusan Pusat Sumber Dalam Talian (Online Library Catalogue & Management) yang dibangunkan menggunakan aplikasi sumber terbuka berasaskan PHP dan MySQL. Sistem tersebut akan membolehkan urusan Pusat Sumber seperti rekod dan peminjaman dijalankan secara berpusat, serta lebih teratur. Selain itu, guru, murid dan ibu bapa juga dapat menyemak senarai bahan yang terdapat di bawah pengurusan Pusat Sumber SK Sena melalui katalog dalam talian yang disediakan melalui perkhidmatan ini.

Perancangan masa hadapan bagi sistem ini ialah untuk mewujudkan pangkalan data pengguna berdaftar yang secara khususnya melibatkan guru dan murid SK Sena, agar pengguna Pusat Sumber dapat menyemak status pinjaman dan tempahan bahan melalui laman web Pusat Sumber, termasuk jumlah denda (jika ada) yang dikenakan terhadap pengguna yang berkenaan. Memandangkan perkara ini memerlukan setiap pengguna mempunyai akaun dan kata laluan masing-masing untuk melindungi maklumat peribadi pengguna, CATER dan PSS akan memikirkan kaedah terbaik untuk memasukkan modul berkenaan ke dalam sistem PSS.

Buat masa ini, sistem Katalog & Pengurusan Pusat Sumber Dalam Talian hanya boleh diakses setiap Isnin hingga Jumaat, 7.40 pagi hingga 5.00 petang. Pada masa hadapan, CATER merancang untuk membenarkan akses 24 jam sehari, 7 hari seminggu. Lawati laman web sistem PSS ini melalui seksyen PERKHIDMATAN ICT --> Central Access Terminal, atau pautan langsungnya seperi berikut.

Sistem Katalog & Pengurusan Pusat Sumber Dalam Talian SK Sena