SK Sena Di Majlis AISA 2013
- Butiran
- Dikemaskini pada Jumaat, 13 September 2013 14:48
- Diterbitkan pada Jumaat, 13 September 2013 08:47
- Pengarang: SK Sena
"...tema AISA 2013 ini (Mencabar Kemustahilan, Mencipta Keunggulan) mengajak kita semua melebarkan horizon pemikiran dan menampilkan inovasi yang memberi nilai tambah kepada pendekatan semasa adalah amat bertepatan demi menjadikan perkhidmatan awam kita semakin cemerlang. AISA merupakan anugerah peringkat kedua tertinggi dalam perkhidmatan awam, dan majlis hari ini bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada idea-idea inovatif dan bernas agensi-agensi yang mencapai kecemerlangan dalam pengurusan organisasi masing-masing."
YBhg Tan Sri Dr. Ali bin Hamsa
Ketua Setiausaha Negara (KSN)
Ucapan Perasmian Majlis AISA 2013
ARENA SQUARE, Teluk Intan - Seramai 30 orang guru dan murid SK Sena berada di sini pada 12 September 2013 untuk menghadiri Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam (AISA) anjuran Unit Pemodenen Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri. Majlis yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang itu telah dirasmikan oleh YBhg Tan Sri Dr. Ali bin Hamsa, Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan turut dihadiri oleh Ketua-Ketua Setiausaha pelbagai kementerian, Setiausaha Kerajaan Negeri, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Pengarah MAMPU, ketua jabatan-jabatan kerajaan dan ramai lagi.
SK Sena berada di majlis tersebut atas jemputan daripada MAMPU sebagai finalis AISA, kategori Anugerah Inovasi ICT (AIICT). Sebanyak 44 agensi yang terdiri daripada pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan telah mengambil bahagian dalam kategori berkenaan, dan sebanyak lima projek inovasi daripada enam agensi telah terpilih untuk memasuki senarai akhir. Agensi-agensi tersebut ialah Bank Simpanan Nasional (BSN), Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) & Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Sekolah Kebangsaan Sena.
Projek SK Sena yang telah terpilih sebagai finalis bertajuk TV Sena: Studio Multimedia Dalam Pendidikan. Projek berkenaan memaparkan pelaksanaan program-program penerbitan video oleh murid-murid sekolah rendah sepenuhnya menggunakan pelbagai teknologi terkini, khususnya yang berasaskan Perisian Sumber Terbuka dan Bebas (Free and Open Source Software, FOSS). Ketika mengulas mengenai pencapaian SK Sena dalam AISA 2013, Guru Besar, En. Roslan bin Yatim menyebutkan bahawa kejayaan ini pastinya menjadi insentif kepada pihak sekolah untuk terus berusaha mempertingkatkan lagi infrastruktur dan pelaksanaan program-program berasaskan ICT yang juga merupakan salah satu bidang kebitaraan sekolah sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan Malaysia. Beliau juga menyatakan bahawa kejayaan ini menjadi hadiah pihak sekolah kepada seluruh warga SK Sena serta para stakeholders, khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Perlis.
Pihak sekolah menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak MAMPU, Jabatan Perdana Menteri atas pemilihan sebagai finalis Anugerah Inovasi Sektor Awam 2013, juga kepada semua yang telah memberikan kerjasama dan sokongan ke arah menjayakan pencapaian berkenaan. Semua hadiah dan sijil telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara.
Liputan penyertaan SK Sena dalam Majlis AISA 2013 disediakan oleh MEDIASENA (Jurukamera: Muhammad Rafiq bin Mohd Redzuan & Aiman Hakim bin Aziz).