Send Off IYIC 2014
- Butiran
- Dikemaskini pada Selasa, 05 Ogos 2014 09:41
- Diterbitkan pada Selasa, 05 Ogos 2014 09:39
- Pengarang: SK Sena
KANGAR, Perlis - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis semalam menganjurkan majlis penyerahan Jalur Gemilang dan meraikan peserta-peserta SK Sena yang akan berangkat ke Seoul, Korea Selatan untuk menyertai International Youth Invention Contest (IYIC) 2014 yang akan berlangsung pada 7 - 9 Ogos ini di Seoul Trade Exhibition and Convention Center (SETEC).
Majlis tersebut yang dianjurkan oleh unit pengurusan Sekolah Kecemerlangan JPN Perlis telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, En. Nuzrin bin Nuiman. Dalam ucapannya, beliau memberikan pesanan kepada para peserta agar dapat merebut peluang bukan sahaja untuk meraih kecemerlangan, tetapi juga untuk membina hubungan persahabatan dengan rakan-rakan sebaya di peringkat antarabangsa. Pada masa yang sama, beliau juga menyatakan harapan agar semua sekolah di negeri Perlis dapat terlibat dalam aktiviti yang serupa pada masa hadapan.
Dalam majlis tersebut, pihak JPN Perlis telah menyerahkan Jalur Gemilang kepada dua orang murid SK Sena sebagai sokongan simbolik terhadap perjuangan mereka mewakili Malaysia dan negeri Perlis. Selain itu, Guru Besar SK Sena, En. Roslan bin Yatim yang akan turut serta dalam rombongan tersebut sebagai ketua kontinjen dan pembimbing inovasi menerima cenderamata dan sumbangan mewakili delegasi SK Sena. Semua cenderamata untuk para peserta merupakan sumbangan Unit Kokurikulum dan Unit Sukan JPN Perlis.
Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak JPN Perlis, khususnya kepada pegawai-pegawai pengurusan Sekolah Kecemerlangan, Pn. Noor Hafidza binti Husni dan Pn. Noor Shafila binti Lah, En. Yaakob bin Abd Aziz dari Unit Kokurikulum dan Ust. Zulkifli bin Deraoh dari Sektor Pendidikan Islam atas semangat dan sokongan yang ditunjukkan. Sekalung penghargaan turut disampaikan kepada pihak Universiti Malaysia Perlis atas sumbangan, bantuan dan khidmat nasihat yang diberikan kepada SK Sena sepanjang penglibatan sekolah dalam pelbagai acara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.