SK Sena Raih Emas, Perak Dalam IYIC 2014
- Butiran
- Dikemaskini pada Rabu, 13 Ogos 2014 13:50
- Diterbitkan pada Rabu, 13 Ogos 2014 12:44
- Pengarang: SK Sena
SETEC, Seoul - Dua produk inovasi Sekolah Kebangsaan Sena, Easy Socket Safe dan Keep Clippin' masing-masing berjaya meraih Pingat Emas dan Pingat Perak dalam pertandingan inovasi dan rekacipta antarabangsa, International Youth Invention Contest (IYIC) 2014 anjuran Korea University Invention Association (KUIA) bersama pelbagai agensi inovasi dan rekacipta dunia. Produk Easy Socket Safe turut berjaya memenangi Anugerah Khas daripada World Invention Intellectual Property Associations (WIIPA) dalam acara yang berlangsung di sini pada 7 - 9 Ogos yang lalu.
Easy Socket Safe telah diwakili oleh Rifqie Aiman bin Mohd Salehuddin dari Tahun 5 Elit, sementara Keep Clippin' pula diwakili oleh Muhammad Qhalif Azariq bin Sahzan dari Tahun 4 Omega. Rifqie Aiman dan Muhammad Qhalif Azariq merupakan anggota EYReC-MINDS Young Researchers Club, Chapter SK Sena yang telah ditubuhkan tahun lalu hasil permuafakatan rasmi antara SK Sena dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Pada masa yang sama, IYIC 2014 turut memperlihatkan pelbagai produk yang inovatif dan kreatif hasil ciptaan peserta-peserta dari pelbagai negara seperti Korea, Taiwan, Romania, Mesir, Filipina dan banyak lagi. Delegasi Malaysia dalam acara tersebut turut disertai oleh UniMAP, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Sekolah Sultan Alam Shah (SAS), SMK Sultan Ismail II dan SM Imtiaz Kuala Terengganu. Hadiah-hadiah utama telah disampaikan oleh Presiden KUIA, Prof. Lee Ju Hyung.
Mengulas mengenai kejayaan kedua-dua produk berkenaan, Guru Besar, En. Roslan bin Yatim menzahirkan hasrat untuk meluaskan lagi pencapaian produk-produk inovasi SK Sena dalam lebih banyak pertandingan di peringkat antarabangsa. Beliau turut menyatakan rancangan untuk mengembangkan konsep dan pelaksanaan program-program sedemikian kepada lebih banyak sekolah di peringkat negeri dengan kerjasama pelbagai agensi seperti UniMAP dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
Selesai pertandingan, para peserta telah dibawa melawat sekitar bandaraya Seoul untuk meninjau tempat-tempat menarik dan tinggalan sejarah Korea yang masih berdiri teguh sehingga hari ini seperti Gyeongbok Palace yang merupakan kawasan pentadbiran Dinasti Joseon dan Hanuk Village. Selain itu, mereka turut berpeluang meninjau keseluruhan kawasan Seoul dari puncak Seoul Tower dan mengikuti aktiviti-aktiviti kempen penyatuan Korea Selatan dan Korea Utara oleh sukarelawan muda dari seluruh dunia di Insadong.
Pihak sekolah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para pelajar yang telah berjaya mengharumkan nama negara dalam IYIC 2014, termasuk kepada wakil-wakil negara dari institusi-institusi yang disebutkan. Sekalung penghargaan disampaikan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan bantuan ke arah menjayakan penyertaan SK Sena, khususnya kepada UniMAP, para guru dan ibu bapa yang tidak henti-henti memberikan sumbangan dalam pelbagai bentuk kepada para peserta.