SK Sena Bersama Normah Nordin
- Butiran
- Dikemaskini pada Jumaat, 05 September 2014 08:41
- Diterbitkan pada Jumaat, 05 September 2014 08:40
- Pengarang: SK Sena
PENERBIT UniMAP, Seriab - Sesi perbincangan antara Sekolah Kebangsaan Sena dengan Penerbit UniMAP di pejabat organisasi tersebut di sini pada 3 September 2014 yang lalu menjadi satu majlis dan kenangan yang amat bermakna bagi pihak sekolah apabila pertemuan tersebut turut dihadiri oleh Cik Normah Nordin (A.M.N.), salah seorang artis dan karyawan ternama negara yang bergiat aktif dalam bidang seni visual, teater, filem, televisyen, pengarahan, kejurulatihan lakonan, penerbitan dan banyak lagi. Terbaru, beliau turut menggunakan bakat dan kelebihan yang ada untuk membantu murid-murid sekolah di seluruh negara meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran akademik melalui aktiviti yang menarik dan menyeronokkan.
Dalam pertemuan berkenaan, pihak sekolah bersama Penerbit UniMAP sempat merancang beberapa aktiviti bersama Cik Normah, khususnya dalam pelaksanaan aktiviti pengukuhan Bahasa Inggeris melibatkan murid-murid Tahun 4 dan 5 SK Sena. Pada masa yang sama, khidmat beliau turut dipohon untuk meningkatkan lagi kualiti produksi badan penyiaran utama sekolah, MEDIASENA. Cik Normah telah menyatakan kesediaan dan rasa teruja beliau untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti tersebut. Penerbit UniMAP telah diwakili oleh Pengarah, Prof. Dr. Asiah Sarji, manakala SK Sena pula diwakili oleh Guru Besar, En. Roslan bin Yatim, Penyelaras Sekolah Kluster Kecemerlangan, En. Saifur Ridzwan bin Mustafa dan Pembantu Teknikal S.E.N.A CyQUEST, En. Ahmad Ferdaus Abd Razak.
Cik Normah mempunyai pengalaman luas dalam bidang pendidikan, termasuk menjadi tenaga pengajar di Akademi Filem Malaysia, Akademi Seni Kebangsaan, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Kid Witness News (KWN), Asian Institute of Broadcasting & Development dan Education Training Institute Jakarta. Pada masa yang sama, beliau turut terlibat sebagai jurulatih lakonan kepada beberapa orang pelakon dalam penerbitan filem-filem kontemporari di Malaysia. Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Prof. Dr. Asiah kerana sudi mengatur pertemuan tersebut, serta menyampaikan penghargaan yang tidak terhingga kepada Cik Normah kerana sudi berkongsi pengetahuan dan kepakaran beliau dengan guru dan murid SK Sena.