100,000 dan Sasaran Seterusnya

TintaGBJumlah kunjungan ke laman web rasmi SK Sena di www.sksena.edu.my hari ini mencecah angka 100,000. Setelah hampir dua tahun beroperasi sejak dilancarkan pada tahun 2009, kami di SK Sena amat berbesar hati dengan milestone pertama ini. Bagi saya, rekod ini perlu menjadi bukti dan pendorong bahawa usaha yang ikhlas, gigih dan berterusan akan ICT sebagai pengupaya utama untuk menghasilkan murid berilmumembuahkan hasil, insyaAllah. Perlu kita sedari bahawa milestone atau penanda pertama ini bukan sekadar satu matlamat, tetapi juga batu loncatan untuk kita menetapkan sasaran seterusnya untuk diraih pada masa hadapan. Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada seluruh warga SK Sena kerana telah memberikan sumbangan masing-masing ke arah pencapaian ini, dan kepada semua pihak yang telah mengunjungi laman web rasmi SK Sena untuk pelbagai tujuan. Anda juga sebahagian daripada kejayaan kami. Terima kasih.

Pembangunan laman web rasmi SK Sena secara aktif dan berinformasi sebenarnya merupakan salah satu usaha untuk memastikan bahawa pihak sekolah tidak ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi yang begitu pesat pada masa kini. Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dato Hj Muhyiddin bin Hj Mohd Yassin ketika melancarkan Dasar Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam Pendidikan menyatakan hasrat agar ICT menjadi pengupaya utama dalam Pembelajaran dan Pengajaran untuk melahirkan generasi berilmu serta berupaya menyumbang ke arah pembangunan negara. Ucapan pelancaran beliau telah disampaikan di Auditorium Kompleks E, Putrajaya pada 12 Oktober 2010 yang lalu. Saya bersama sekumpulan guru dan murid SK Sena ketika itu berada di sana untuk menyertai pameran OSS Day Kementerian Pelajaran Malaysia, dan penyertaan tersebut telah memberi peluang kepada saya untuk mendengar secara langsung daripada beliau tentang hasrat kerajaan untuk menyelaraskan pelbagai kemudahan ICT di sekolah-sekolah seluruh negara untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan. Penggunaan laman web rasmi sekolah sebagai medium publisiti, hebahan maklumat, penyampaian bahan, serta saluran kreatif guru dan murid tentunya merupakan salah satu wacana untuk menjadikan hasrat tersebut satu kenyataan.

Jelas bahawa milestone 100,000 ini ialah hasil usaha bersama seluruh warga sekolah, dan bukannya produk individu. Dengan jumlah bahan bersaiz 2GB meliputi 240 tajuk artikel, 40 tajuk video dan beberapa ratus gambar aktiviti, laman web rasmi SK Sena kini telah berkembang daripada satu eksperimen di peringkat sekolah kepada satu keperluan di peringkat global. Selain menjadi media sekolah untuk menyampaikan maklumat kepada pihak luar, laman web ini turut menjadi sumber maklumat kepada sesiapa sahaja yang ingin tahu dengan lebih lanjut tentang SK Sena. Yang kami sasarkan ketika ini ialah untuk menjadikan proses pembangunan dan penambahbaikan sebagai satu usaha berterusan. Sehubungan itu, kami mengalu-alukan komen, cadangan dan kritikan membina daripada mana-mana pihak yang berminat untuk menyumbang kepada milestone seterusnya. Untuk tujuan tersebut, kami boleh dihubungi melalui saluran-saluran yang terpapar di sini.

Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan agenda pembangunan ICT di Sekolah Kebangsaan Sena. Bagi pihak sekolah, saya mengharapkan agar segala sokongan yang telah ditunjukkan oleh pelbagai pihak akhirnya akan terjelma melalui pembangunan sekolah yang dapat menghasilkan murid yang berkeyakinan tinggi, berketrampilan, serta sarat dengan ilmu dan kemahiran.


Salam hormat,

ROSLAN BIN YATIM
Guru Besar
Sekolah Kebangsaan Sena
01000 Kangar
Perlis