Sekolah Kebangsaan Sena

Cabaran Hari Ini, Kebanggaan Hari Esok

TintaGBMemimpin sebuah institusi pendidikan bukanlah satu tugas yang mudah, sekalipun jika institusi yang dipimpin hanyalah sebuah sekolah rendah. Malah, tugas mentadbir dan melaksanakan tanggungjawab untuk memberikan asuhan formal paling awal kepada generasi-generasi pewaris negara ini sebenarnya jauh lebih berat daripada yang disangka. Di sinilah asas peribadi mereka dibina, dan daripada asas itulah akan terbentuk apa jua jenis insan yang mampu kami bekalkan kepada negara untuk tahap pendidikan seterusnya. Buluh yang tidak dilentur daripada rebung, tidak akan dapat dilentur lagi selama-lamanya.

Atas kesedaran itulah, para guru dan staf sokongan di SK Sena berusaha sehabis daya untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik yang dapat kami curahkan kepada anak-anak murid kami. Cukuplah kami nyatakan dalam misi yang kami junjung setiap hari - menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada murid melalui pengurusan yang berkesan berasaskan falsafah pendidikan kebangsaan - untuk menggambarkan betapa besarnya amanah yang kami terima, dan betapa pentingnya untuk kami sempurnakan amanah tersebut sehingga ke titisan keringat yang terakhir. Tidak ada masa untuk kami leka daripada melaksanakan segala-galanya yang mampu kami fikirkan untuk kejayaan anak-anak murid kami, dan tidak ada peluang yang kami bazirkan, melainkan kami buka seluas-luasnya untuk semua murid yang mahu berusaha mencari kejayaan hari ini dan masa hadapan. Berani saya katakan bahawa sebahagian daripada peluang kami wujudkan untuk anak-anak murid kami mungkin tidak dapat ditemui di mana-mana sekolah di Malaysia, kecuali di SK Sena.

Terngiang-ngiang di telinga saya, sebahagian daripada beberapa rangkap lagu yang pernah saya dengar satu ketika dahulu. Jika pada masa itu konotasinya mungkin berbeza, hari ini, baris-baris yang sama dapat mencerminkan cara berfikir dan bertindak yang kami amalkan di SK Sena. Tenaga yang kami gembelingkan bersama tidak sekali-kali kami pandang sia-sia. Wawasan dan cita-cita yang kami bangunkan untuk anak-anak murid kami menjadi kekuatan yang mendorong kami untuk terus berusaha.

"Suria muncul di pagi hari
Kita bangun sederap kaki
Menara bangsa akan kita bina
Perkasa tiada rebah lagi

Mentari sudah ada di sini
Pasti bersinar seribu tahun lagi
Biar berhembus angin sangkakala
Malam pasti tiada datang

Kita sudah tiada perlu tidur
Kerna mimpi ada di depan mata
Peluh jernih mengganti keringat
Bersinar bagai mutiara

..."

Namun di sini, perlu saya tegaskan bahawa usaha yang hebat turut diiringi oleh cabaran yang tidak kurang dahsyatnya, sama ada dari dalam mahupun luar. Yang perlu kita ingat ialah bahawa setiap satu daripada usaha tersebut kita lakukan untuk kepentingan semua anak murid yang kita sayangi, tanpa membezakan antara satu dengan yang lain. Tidak ada apa-apa keuntungan peribadi yang kita harapkan daripada jerih-payah yang kita lalui. Tidak ada ruang, masa dan tempat di SK Sena untuk mereka yang mementingkan diri sendiri. Ini kerana tugas utama para guru ialah untuk melahirkan manusia yang mempunyai keperibadian yang tinggi, sementara tugas sistem pendidikan pula ialah untuk melahirkan rakyat yang terdiri daripada manusia-manusia yang sedemikian, serta para pemimpin dalam kalangan mereka. Para guru memainkan peranan yang amat penting dan kritikal dalam menjayakan matlamat tersebut. Tidak ada pilihan lain bagi kita semua. Begitu sekali kebergantungan negara kepada kita sebagai warga pendidik.

Kesimpulan saya untuk kali ini, marilah kita semua sebagai guru - sama ada di SK Sena mahupun di mana-mana sekolah di negara ini - bangun sederap kaki untuk sama-sama menjalankan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan oleh negara ini kepada kita. Asuh dan didiklah anak-anak murid kita semua agar menjadi insan yang dapat membawa negara ini ke arah kegemilangan masa hadapan. Tidak perlu kita tunduk dan mengalah kepada cabaran dan ancaman yang sekali-sekala terhunus ke arah usaha-usaha yang kita lakukan. Memimpin sebuah institusi pendidikan bukanlah satu tugas yang mudah, namun saya percaya, cabaran yang kita atasi hari ini akan menjadi kebanggaan untuk kita semua satu hari nanti.

ROSLAN BIN YATIM
Guru Besar
Sekolah Kebangsaan Sena
01000 Kangar
Perlis
www.sksena.edu.my

 

UPSR 2018

24.09.2018 08:00

Translations

Free Software For Education

A Word From The Creator Of Our Favorite Computer Operating System

Q: So, how do you feel about potentially billions of dollars of wealth being created from your creation that you're not necessarily directly cashing out?

A: So? If I hadn't made Linux available, I mean, I wouldn't have gotten a name, (or) money that way either. So I mean, it's a win-win situation. Just the fact that there are a lot of commercial companies, means that there are a lot of Linux people who used to work on Linux (kind of) along the side, and now they get paid for doing what they wanted to do. That helps me in the sense that I wanted them to work on Linux anyway.

- Linus Torvalds

 


 

No To Restricted Boot

This work by Erik Steinmann is licensed under a Creative Commons Attribution 3.0 Unported License.

Creative Commons License

 


 

Vote for open innovations and competitive technologies. Keep Patent Trolls™ out of education!

Pautan

Kerajaan Negeri Perlis

Anuban Satun School, Thailand

Laman Wikipedia SK Sena

MyGovernment

Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia

Open Source Competency Center

Multimedia Development Corporation

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

Kementerian Pendidikan Malaysia

Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Malaysia

Universiti Malaysia Perlis

Universiti Sains Malaysia

Universiti Pendidikan Sultan Idris

Institut Pendidikan Guru Perlis

Jabatan Pendidikan Perlis

Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia

Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Perlis

Zoom-A

EDUWEBTV

Groklaw - Digging for Truth

GNUs Not Unix

Linux

The Internet's #1 Education Site for K-8 Kids and Teachers