Visi Baru SK Sena: Arah Tuju Seterusnya
- Butiran
- Dikemaskini pada Jumaat, 13 Mei 2016 15:53
- Diterbitkan pada Khamis, 28 Ogos 2008 10:29
- Pengarang: Roslan Yatim
Assalamu'alaikum Warahmatullah,
Segala puji bagi Allah, selawat dan salam semoga tercurah kepada Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, keluarganya dan para sahabatnya seluruhnya.
Salah satu perkara yang menjadi keistimewaan di Sekolah Kebangsaan Sena ialah kepelbagaian yang terdapat di kalangan guru, staf dan murid-muridnya. Daripada kepelbagaian inilah munculnya kekuatan dalam pelbagai bidang, yang mana kekuatan-ketuatan tersebut dikaji, diaplikasikan dan diberi dorongan untuk meyumbangkan kecemerlangan kepada
sekolah. Berdasarkan pengamatan saya terhadap proses persediaan untuk memulakan sesi persekolahan 2010 yang sedang berjalan, saya percaya bahawa pengurusan dan pengendalian gabungan kekuatan ini akan terus dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa, dalam usaha memastikan kesinambungan legasi kecemerlangan di SK Sena.
Seluruh warga Sekolah Kebangsaan Sena kini bersedia untuk berusaha lebih gigih bagi mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang dan melonjakkan tahap profesionalisme dalam menjalankan tugas, selaras dengan visi baru SK Sena yang telah diperkenalkan pada 28 Disember 2009, iaitu Sekolah Kebangsaan Sena dari Sekolah Kluster Kecemerlangan ke Sekolah Berprestasi Tinggi. Secara tidak langsung, program-program peningkatan kecemerlangan yang menjurus ke arah status Sekolah Berprestasi Tinggi terkandung dalam empat sub Bidang Keberhasilan Utama Negara, atau NKRA dalam pendidikan, iaitu:-
- Memperluas dan memantapkan pendidikan prasekolah
- Meningkatkan kadar literasi dan numerasi
- Mewujudkan Sekolah Berprestasi Tinggi
- Mengiktiraf Pengetua dan Guru Besar yang menunjukkan prestasi cemerlang
Seperti yang telah kita maklum, SK Sena telah dipilih sebagai salah sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan Malaysia pada tahun 2008, dan kami di sini merasa bangga dan bersyukur dengan pengiktirafan tersebut. Usaha yang telah ditunjukkan oleh semua pihak di SK Sena dalam memenuhi kehendak Sekolah Kluster Kecemerlangan, dan kemenjadian guru dan murid yang menonjol dalam bidang-bidang kebitaraan membuktikan bahawa pengiktirafan tersebut bukan sesuatu yang sia-sia, dan bukan juga sesuatu yang berlaku secara rawak. Sehingga hari ini, selepas tiga fasa pemilihan, Sekolah Kebangsaan Sena masih lagi merupakan satu-satunya sekolah rendah di negeri Perlis yang bergelar Sekolah Kluster Kecemerlangan.
"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"
Saya yang menurut perintah,
ROSLAN BIN YATIM
Guru Besar
Sekolah Kebangsaan Sena
Sekolah Kluster Kecemerlangan