SK Sena Johan Bijak Jawi MSAM 2013
- Butiran
- Dikemaskini pada Selasa, 09 Julai 2013 13:41
- Diterbitkan pada Jumaat, 26 April 2013 12:36
- Pengarang: SK Sena
DEWAN 2020, Kangar - Sekolah Kebangsaan Sena muncul Johan Keseluruhan Pertandingan Bijak Jawi - Jawi Warisan Bangsa (JAWAB) yang dijalankan sempena Minggu Amanah Saham Malaysia kali ke-14 pada 24 April 2013 yang lalu. Pertandingan tersebut yang telah dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Perlis dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad, Takaful Ikhlas Malaysia Berhad, Utusan Melayu Malaysia Berhad dan Jabatan Pelajaran Perlis telah disertai oleh sekolah-sekolah rendah yang mewakili lapan Pusat Kecemerlangan Pendidikan (PKP) seluruh negeri Perlis.
Dalam perlawanan peringkat saringan, murid SK Sena telah memenangi dua hamper, iaitu dalam pertandingan Kami Pintar dan Pintar Pantas, seterusnya menjadi Johan Kumpulan Peringkat Saringan mengalahkan enam lagi sekolah dalam kumpulan PKP Kangar. Dua lagi pertandingan yang turut disertai oleh peserta SK Sena ialah Eja-Eja Jawi dan Intai-Intai Jawi. Dalam perlawanan peringkat akhir, SK Sena berjaya mengungguli dua pertandingan, iaitu Cantum-Cantum Jawi dan Dam Jawi yang menyaksikan para peserta menerima sebuah lagi hamper sebagai hadiah kepada pemenang.
Hasil kemenangan dalam peringkat akhir, para peserta SK Sena telah menerima hadiah wang tunai sebanyak RM600.00 berserta piala dan sijil. Pihak sekolah juga menerima langganan percuma akhbar Utusan Melayu sebanyak 70 naskhah seminggu untuk 30 minggu, menjadikan jumlah langganan sebanyak 2100 naskhah sepanjang tempoh tersebut. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh En. Nuzrin bin Nuiman, Timbalan Pengarah Pelajaran Perlis. Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ust. Mohamad bin Abd Ghani, Ketua Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Perlis, En. Wan Rosli Shaharruddin bin Wan Yaacob, Naib Presiden Kanan Takaful Ikhlas serta wakil-wakil dari Utusan Melayu Berhad dan Permodalan Nasional Berhad.
Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan penyertaan SK Sena dalam Pertandingan Bijak Jawi sempena Minggu Amanah Saham Malaysia 2013, khususnya kepada para penganjur yang memberikan peluang kepada SK Sena untuk turut serta sebagai sebahagian daripada program yang dijalankan.