Articles
Sena Science Fair 2015
- Butiran
- Dikemaskini pada Jumaat, 13 Februari 2015 09:26
- Diterbitkan pada Jumaat, 13 Februari 2015 08:53
- Pengarang: Administrator
SK SENA, Kangar - Bitara ICT SK Sena telah menganjurkan pertandingan inovasi dan rekacipta, Sena Science Fair 2015 bertempat di Kantin SK Sena pada 12 Februari 2015 yang lalu melibatkan sebanyak 12 pasukan murid Tahun 2 hingga 6 dan 20 produk inovasi daripada pelbagai kategori, antaranya peralatan makanan, aksesori kediaman dan produk kitar-semula. Program tersebut yang merupakan acara tahunan sekolah adalah kali ketiga diadakan, dan merupakan salah satu daripada pelbagai program kerjasama strategik antara SK Sena dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Tahun lalu, acara Sena Science Fair berjaya menarik penyertaan 11 pasukan dan 22 produk. Tema Sena Science Fair untuk tahun ini ialah "Sparking Geniuses".
Program dimulakan dengan pendaftaran pasukan dan produk pada pukul 2.00 petang. Setiap pasukan yang mendaftar menerima nombor booth pameran masing-masing untuk persiapan sebelum pertandingan dimulakan. Satu sesi taklimat ringkas kepada para peserta tepat jam 2.15 petang untuk menerangkan tentang kaedah pertandingan dan objektif utama Sena Science Fair, iaitu untuk mencetuskan minat ke arah pemikiran kreatif dan kemahiran menyelesaikan masalah dalam kalangan murid.
Seterusnya, pertandingan dimulakan pada jam 2.30 petang dengan seramai 7 orang juri dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGeTech), UniMAP yang diketuai oleh En. Faizul bin Che Pa melawat ke setiap booth pameran untuk mendengar penerangan tentang produk-produk yang dipamerkan dan mengikuti sesi soal-jawab bersama para peserta. Pada masa yang sama, majlis turut diserikan dengan kehadiran Ust Muhammad bin Abdul Ghani, Ketua Sektor Pendidikan Agama Islam, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis mewakili Pengarah Pendidikan Negeri Perlis sebagai tetamu kehormat. Sena Science Fair 2015 juga telah dikunjungi oleh pelajar-pelajar dan guru dari SMK(A) Arau.
Sesi penjurian berakhir sekitar jam 3.30 petang dan para juri bersidang untuk menentukan pingat-pingat yang dimenangi oleh setiap produk yang dipertandingkan. Keputusan akhir menyaksikan sebanyak 3 produk menerima Pingat Emas, 6 produk menerima Pingat Perak dan 10 lagi produk menerima Pingat Gangsa. Pada masa yang sama, dua orang murid, iaitu Muhammad Qhalif Azariq bin Sahzan (Tahun 5 Elit) dan Nur Raihana (Tahun 5 Elit) telah dipilih sebagai Pembentang Terbaik Lelaki dan Perempuan. Majlis penutup yang bermula sekitar jam 5.00 petang dimulakan dengan sesi ulasan oleh Ketua Juri tentang proses penjurian dan kaedah penilaian yang digunakan. Majlis penutup kemudian diteruskan dengan ucapan perasmian penutup oleh Ust Muhammad dan penyampaian hadiah kepada para pemenang. Hadiah-hadiah telah disumbangkan oleh EYReC-MINDS Young Researchers Club, Chapter SK Sena dan UniMAP.
Pihak sekolah menyampaikan penghargaan kepada UniMAP atas kerjasama, bimbingan dan kepakaran yang telah dicurahkan ke arah menjayakan Sena Science Fair 2015, dan membentuk pemikiran kreatif dan inovatif dalam diri para peserta, serta kepada pihak CIC, E-CIP dan 1CATs yang hadir untuk tujuan pendaftaran dan usaha pengkomersilan produk-produk murid yang dipertandingkan. Ucapan terima kasih juga disampaikan kepada pihak JPN Perlis, para guru, ibu bapa dan peserta yang terlibat menjayakan program pada hari tersebut.