Pelantikan Pengawas 2013
- Butiran
- Dikemaskini pada Selasa, 09 Julai 2013 13:33
- Diterbitkan pada Khamis, 17 Januari 2013 13:59
- Pengarang: SK Sena
SK SENA, Kangar - Sekolah Kebangsaan Sena telah mengadakan majlis Pelantikan Pengawas Sekolah untuk sesi persekolahan 2013 pada 14 Januari yang lalu melibatkan murid-murid Tahun 3 hingga 6 yang telah dipilih oleh jawatankuasa pemilihan tahun ini. Majlis tersebut yang bermula seawal 7.40 pagi telah disempurnakan oleh YBhg ASP Azmi bin Hamid dari Bahagian Hal Ehwal Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar, Perlis.
Dalam ucapannya, beliau mengingatkan para murid agar tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti jenayah, sama ada semasa berada di dalam mahupun di luar kawasan sekolah. Beliau turut menegaskan kepentingan para Pengawas menjalankan tugas dengan adil dan saksama untuk memastikan disiplin murid dan ketenteraman sekolah sentiasa berada pada tahap terbaik.
Selesai ucapan, ASP Azmi telah menyampaikan watikah pelantikan kepada semua Pengawas yang dilantik, serta memakaikan Blazer kepada Ketua Pengawas dan Penolong Ketua Pengawas sebagai simbol pelantikan kedua-dua jawatan kepimpinan tersebut. Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan ikrar Pengawas yang diketuai oleh Ketua Pengawas yang baru dilantik, Syed Ahmad Muaz bin Syed Zainal Abidin Khilmi dari Tahun 6 Cenderawasih.
SK Sena mengucapkan tahniah kepada semua Pengawas Sekolah yang telah terpilih untuk sesi 2013, serta mengharapkan agar semua Pengawas dapat menjalankan tugas masing-masing dengan berkesan.