Penyampaian Kutipan Tabung Sumbangan Perwira
- Butiran
- Dikemaskini pada Selasa, 09 Julai 2013 13:33
- Diterbitkan pada Jumaat, 15 Mac 2013 09:00
- Pengarang: SK Sena
SK SENA, Kangar - Sekolah Kebangsaan Sena hari ini mengadakan Majlis Penyampaian Kutipan Tabung Sumbangan Perwira di Dataran Sena sebagai sebahagian daripada usaha seluruh warga sekolah untuk menyatakan penghargaan yang tertinggi kepada wira-wira Malaysia yang bertugas untuk mempertahankan kedaulatan negara di Sabah. Tabung Sumbangan Perwira SK Sena yang dilancarkan Isnin lalu dan berjalan sepanjang minggu telah mencatatkan kutipan berjumlah RM 1,250.00.
Majlis bermula seawal jam 7.30 pagi dengan perhimpunan melibatkan semua guru dan murid SK Sena, di mana lagu-lagu patriotik telah dimainkan untuk memberikan semangat kepada seluruh warga sekolah, dan sebagai tanda sokongan kepada para perajurit yang sedang berjuang di perbatasan. Satu deklamasi sajak tentang pencerobohan di Sabah telah disampaikan oleh Pn. Norayrah binti Safiei. Seterusnya, En. Ayub bin Ahmad, Ketua Unit Hal Ehwal Murid, Jabatan Pelajaran Perlis telah menyampaikan ucapan perasmian majlis. Dalam ucapannya, beliau menerangkan kepada para hadirin tentang rentetan peristiwa dalam sejarah Malaysia yang berkaitan dengan konflik yang sedang berlaku di Sabah sekarang ini. Beliau turut menegaskan kepada para murid agar bersedia untuk bangkit dan berjuang satu hari nanti, supaya negara tidak perlu bergantung kepada kuasa luar untuk menjaga keamanan dan keselamatan sendiri.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaikan replika cek Tabung Sumbangan Perwira kepada Inspektor Mastura binti Zul, Pegawai Perhubungan Sekolah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kangar, Perlis. Replika cek tersebut telah disampaikan oleh Guru Besar, En. Roslan bin Yatim melalui En. Ayub.
Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan, serta terlibat menjayakan majlis dan kutipan yang diadakan, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Seluruh warga SK Sena mendoakan keselamatan negara dan para pejuang. Liputan dan siaraya majlis disediakan oleh MEDIASENA.