Pelancaran Program Antidadah Kebangsaan
- Butiran
- Dikemaskini pada Selasa, 25 Februari 2014 10:56
- Diterbitkan pada Selasa, 25 Februari 2014 10:55
- Pengarang: SK Sena
SK SENA, Kangar - Program Antidadah Kebangsaan peringkat SK Sena telah dilancarkan pada 25 Februari 2014 sebagai sebahagian daripada usaha berterusan ke arah memerangi masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat negara ini. Program tersebut yang merupakan salah satu inisiatif kerajaan Malaysia diterajui oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Dalam Negeri dan menampilkan beberapa aktiviti yang dilaksanakan sepanjang tahun, antaranya 5-Minit Antidadah yang berjalan dalam sesi perhimpunan mingguan serta promosi antidadah di sekitar kawasan sekolah.
Majlis pelancaran di SK Sena dimulakan dengan bacaan perutusan antidadah yang diterbitkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sempena sambutan peringkat kebangsaan pada 19 Februari 2014. Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan perasmian program oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SK Sena, En. Zubir bin Ghazali. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa usaha-usaha membendung masalah penyalahgunaan dadah, samaada dalam kalangan murid atau masyarakat awam, bukanlah satu usaha bermusim, sebaliknya harus dilaksanakan tanpa mengenal penat-lelah untuk memastikan negara bebas daripada wabak tersebut.
Seterusnya, bacaan ikrar oleh semua murid, gimik pelancaran berupa pembebasan seekor burung merpati sebagai simbolik membebaskan diri daripada belenggu penyalahgunaan dadah dan deklamasi sajak oleh Tengku Damia 'Atiqah binti Tg Mahmud dari Tahun 6 Gemilang telah diadakan untuk menyerikan lagi majlis.
Liputan program disediakan oleh MEDIASENA (Jurukamera: Muhammad Ehsan Zubaidi).