Klinik Mini Bike 2010
- Butiran
- Dikemaskini pada Selasa, 09 Julai 2013 13:40
- Diterbitkan pada Ahad, 06 Jun 2010 14:07
- Pengarang: SK Sena
UUM, Sintok - Sekolah Kebangsaan Sena kelmarin menghadiri satu sesi Kursus Asas Go Kart dan Klinik Mini Bike anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis di Litar Go Kart, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah. Seramai 14 orang murid SK Sena telah menyertai program berkenaan yang berjalan mulai jam 9.00 pagi dan berakhir sekitar 5.00 petang.
Acara pada sesi tersebut telah dimulakan dengan pendaftaran peserta yang keseluruhannya terdiri daripada murid-murid sekolah rendah dan menengah Perlis. Seterusnya, taklimat pemanduan dan keselamatan telah disampaikan oleh wakil KartQuest Corporation Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat yang bertanggungjawab mengendalikan latihan berkenaan. Antara penekanan yang diberikan dalam taklimat tersebut ialah teknik-teknik asas menunggang mini bike, garisan perlumbaan dan pakaian keselamatan yang diperlukan untuk menunggang mini bike.
Pada sebelah petangnya pula, para peserta diberi peluang untuk menunggang mini bike yang disediakan oleh penganjur dalam sesi amali di mana setiap peserta dikehendaki membuat lima pusingan ringkas dengan bimbingan fasilitator. Namun begitu, hujan yang turun pada lewat petang menyebabkan sesi latihan di dalam litar perlumbaan tidak dapat dijalankan. Walau bagaimanapun, peserta-peserta yang hadir menunjukkan rasa gembira dan berpuas hati kerana dapat menjalani latihan berkenaan. Apatah lagi, ini merupakan kali pertama menunggang mini bike bagi hampir semua peserta.
Liputan program telah disediakan oleh CyKidzCRAZE. Nantikan video liputan di Galeri Video SK Sena.