SK Sena Naib Johan Bola Sepak PKP Kangar 2013

SK Sena Naib Johan Bola Sepak PKP Kangar 2013SRK SERI INDERA, Kangar - Sekolah Kebangsaan Sena muncul Naib Johan dalam Kejohanan Bola Sepak B12 peringkat Pusat Kecemerlangan Pelajaran (PKP) Kangar 2013 yang berakhir pada 22 Februari yang lalu. Kejohanan tahun ini yang dikelolakan oleh Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Indera melibatkan 9 buah sekolah rendah dalam kawasan tersebut yang dikelompokkan dalam 3 kumpulan pada peringkat awal pertandingan.

Pasukan SK Sena yang diletakkan dalam satu kumpulan bersama SK Seri Perlis dan SK Behor Empiang telah mencatatkan keputusan sebagai Johan Kumpulan setelah memenangi kedua-dua perlawanan untuk mara ke peringkat suku akhir pada 21 Februari menentang SRK Seri Perlis dengan keputusan 1-0. Perlawanan separuh akhir yang berlangsung pada hari yang sama menyaksikan SK Sena menentang SRK Seri Indera di padang lawan dengan keputusan berpihak kepada SK Sena, 1-0.

Perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak B12 PKP Kangar 2013 telah berlangsung dengan penuh kemeriahan, di mana pasukan SK Sena telah berhadapan dengan pasukan SK Jalan Raja Syed Alwi. Pertarungan sengit yang berlangsung sepanjang perlawanan didahului oleh pasukan SK Jalan Raja Syed Alwi apabila mereka berjaya menjaringkan gol pertama pada awal waktu. Pasukan SK Sena telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan saingan hebat, namun keputusan kekal memihak kepada pasukan SK Jalan Raja Syed Alwi dengan catatan 1-0 sehingga tamat perlawanan. Muhammad Nazreen bin Radzali dari Tahun 6 Kenyalang, SK Sena telah dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.

Majlis penutup kejohanan yang dijalankan sebaik sahaja perlawanan berakhir telah disempurnakan oleh En. Zainuddin bin Ahmad, Penyelia Kanan Sukan, Jabatan Pelajaran Perlis. Dalam ucapannya, beliau menyampaikan pesanan kepada pasukan yang akan mewakili PKP Kangar ke peringkat negeri, dan seterusnya pemain-pemain yang akan mewakili negeri Perlis ke peringkat kebangsaan untuk memberikan persembahan yang terbaik. Beliau kemudian menyampaikan pingat dan hadiah-hadiah kepada para pemenang.

Sekolah Kebangsaan Sena mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak sekolah yang telah memberikan usaha yang terbaik, serta menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan penyertaan SK Sena dalam Kejohanan Bola Sepak B12 PKP Kangar 2013.

Liputan program disediakan oleh MEDIASENA.