Hari Kokurikulum SK Sena
- Butiran
- Dikemaskini pada Rabu, 30 Oktober 2013 07:57
- Diterbitkan pada Rabu, 30 Oktober 2013 07:57
- Pengarang: SK Sena
SK SENA, Kangar - Sekolah Kebangsaan Sena telah menganjurkan Hari Kokurikulum peringkat sekolah pada 26 Oktober 2013 yang lalu untuk menonjolkan program-program dan pencapaian bidang-bidang kokurikulum kepada seluruh warga sekolah dan masyarakat sekitar. Acara tersebut yang bermula seawal jam 8.00 pagi menampilkan pameran oleh sebilangan besar kelab dan persatuan di SK Sena, selain gerai-gerai jualan oleh kelab dan badan beruniform. Pada masa yang sama, beberapa acara sampingan turut diadakan untuk memeriahkan lagi majlis pada hari tersebut, antaranya persembahan pancaragam oleh 4 Rejimen Renjer Diraja, pertandingan kawad kaki, pertandingan karaoke, pertandingan mewarna, pameran Bomba, tayangan wayang gambar dan banyak lagi.
Majlis penutup Hari Kokurikulum SK Sena telah dirasmikan oleh YB Tn. Romli bin Dai, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis. Selesai ucapan, beliau telah berkesempatan untuk melawat tapak pameran dan meninjau aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan dan membantu menjayakan sambutan Hari Kokurikulum SK Sena 2013. Liputan dan siaraya program disediakan oleh MEDIASENA.